Penyanyi tersohor Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang bakal mencecah tiga dekad dalam industri muzik tampil dengan single terbaru berjudul Sejarah, yang dicipta oleh komposer terkenal Indonesia, Erwin Gutawa.
Lagu ini bukan hanya sekadar lagu baru tetapi simbolik kepada perjalanan seni Siti dan ia adalah kolaborasi istimewa antara Erwin Gutawa dan anaknya, Gita Gutawa, yang menulis liriknya.
Lagu Sejarah juga menampilkan iringan muzik orkestra oleh Czech Symphony Orchestra, yang menambah elemen dramatik dalam susunan muziknya.
Susunan orkestra ini dihasilkan khas untuk memperkaya keunikan vokal Siti Nurhaliza, menjadikannya buah tangan istimewa dari Erwin Gutawa sebelum tirai 2024 dilabuhkan.
Bagi Siti, Sejarah adalah peluang untuk kembali bekerja dengan Erwin Gutawa, selepas sebelumnya menyatakan harapan agar beliau dapat menyanyikan lagu yang memaparkan perjalanan hidupnya.
“Saya sangat berterima kasih kepada Erwin Gutawa yang mencipta lagu yang begitu menyentuh emosi saya. Semasa menyanyikan Sejarah, satu persatu memori karier saya terlintas, seperti menghidupkan kembali setiap fasa perjalanan seni saya,” ujar Siti.
Proses rakaman vokal dilakukan di Kuala Lumpur dengan bantuan komposer Malaysia, Aubrey Suwito.
Lagu terbitan SN Legacy Sdn. Bhd. dan Universal Music Sdn. Bhd. ini boleh didengar di seluruh platform digital bermula hari ini, 14 November 2024.
Siti berharap Sejarah akan menyentuh hati para peminat dan terus mengekalkan kehadirannya dalam industri seni yang telah memberikan pelbagai kenangan dan pencapaian dalam hidupnya.