Ikuti Kami:

YM Dato’ Sri Siti Nur Atiqah Nafi Terlibat Dalam Isu Penipuan Pakej Haji Percuma

YM Dato’ Sri Siti Nur Atiqah Nafi Terlibat Dalam Isu Penipuan Pakej Haji Percuma

Dato’ Seri Paduka Diraja Dato’ Sri Siti Nur Atiqah binti Dato’ Seri Baba hari ini tampil memberi penjelasan berhubung insiden 82 jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini akibat masalah visa haji Mujamalah, sambil menafikan sekeras-kerasnya penglibatan dirinya atau syarikat miliknya, MRF, dalam sebarang penipuan berkaitan.

Dato’ Sri Siti menegaskan bahawa dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan beliau dengan skim penipuan haji adalah tidak berasas dan menyeleweng daripada fakta sebenar.

“Saya nak tekankan, semua yang tular di media sosial itu tidak benar,” katanya, merujuk kepada kenyataan rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut mengesahkan siasatan masih dijalankan dan tiada pengesahan sahih terhadap tuduhan-tuduhan tersebut.

Menurut beliau, penyertaan beliau bersama keluarga dalam perjalanan haji tersebut adalah atas dasar tajaan, berpandukan surat tawaran dan tiket penerbangan sah yang dikeluarkan oleh agensi Albalad.

“Saya sendiri ditaja. Keluarga saya pun ikut serta. Kenapa saya nak aniaya diri sendiri dan keluarga saya?” katanya.

Dato’ Sri Siti turut menjelaskan bahawa individu dari agensi Albalad pada awalnya memberi jaminan bahawa semua jemaah akan disambut di Jeddah, namun perubahan saat akhir berlaku apabila visa Mujamalah tidak diperoleh sepenuhnya, menyebabkan sebahagian jemaah tidak dapat berlepas.

Seorang sumber jemaah yang terlibat turut menjelaskan bahawa istilah “percuma” yang digunakan media tidak menggambarkan keadaan sebenar. Menurutnya, jemaah tidak membuat sebarang bayaran kerana semua kos ditanggung penaja, dan urusan pengurusan dokumen dilakukan oleh pihak ketiga.

“Tiada seorang pun daripada kami yang mengeluarkan bayaran untuk pakej ini. Penaja yang membayar, kami hanya penerima tajaan,” ujar sumber itu.

Suasana di KLIA pada malam insiden juga dilaporkan terkawal, dengan hanya segelintir jemaah yang mencetuskan kekecohan. Bagaimanapun, kehadiran pihak polis berjaya menenangkan keadaan.

Dato’ Sri Siti turut mendedahkan bahawa beliau telah disoal siasat oleh pihak polis lebih 12 jam di KLIA dan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, namun menyatakan beliau bersikap terbuka dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya.

“Saya tak takut disiasat sebab saya tahu saya tak bersalah,” katanya sambil menyuarakan rasa kecewa terhadap kenyataan penyanyi Amir Ukays yang didakwanya menimbulkan salah faham.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa syarikat miliknya, MRF, tidak terlibat langsung dalam urusan tajaan atau pengurusan jemaah.

“Semua ini berlaku atas tajaan individu lain. Saya hanya bertindak membantu atas dasar kebajikan.”

Pihak berkuasa kini masih meneruskan siasatan terhadap laporan-laporan yang diterima, termasuk dari pihak jemaah dan individu tertentu. Dato’ Sri Siti dalam kenyataannya turut menyeru media dan masyarakat agar lebih berhemah dalam membuat penilaian, khususnya terhadap isu yang melibatkan maruah dan reputasi individu.

“Kalau benda ini betul-betul saya yang salah, kenapa ada jemaah yang dah pun selamat berangkat ke Mekah?” katanya lagi.

Kes ini dijangka terus menjadi perhatian awam memandangkan banyak persoalan masih belum terjawab, khususnya dari pihak agensi Albalad dan individu penaja yang terlibat.

Komen
Loading...