Dato’ Seri Siti Nurhaliza Perkenal Umairah Sebagai Artis Baharu SN Legacy
- oleh Mohd Indera
- 3 bulan lalu

Dato’ Seri Siti Nurhaliza memperkenalkan Umairah sebagai artis baharu di bawah naungan syarikatnya, SN Legacy Sdn. Bhd., bermula 1 Januari 2025.
Satu majlis sederhana diadakan bagi sesi menandatangani kontrak perjanjian yang turut dihadiri oleh wakil media dan beberapa ahli pasukan syarikat.
Umairah adalah merupakan anak saudara kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza, anak gadis kepada Siti Sairah hasil perkahwinan bersama bekas suaminya terdahulu.
Ummi Umairah binti Abdullah atau lebih dikenali sebagai Umai adalah merupakan bintang cilik kelahiran program realiti TV nyanyian kanak-kanak terbitan Astro, Ceria Megastar Ministar di Astro Ceria.
Selain itu Umairah juga pemenang pingat emas di World Championships of Performing Arts (WCOPA) Ke-27 yang diadakan di Long Beach Performing Arts Center, California, Amerika Syarikat tahun lepas.
Menurut Dato’ Seri Siti, majlis tersebut diatur selepas Umairah selesai bercuti sekolah dan beliau sendiri pulang dari bercuti.
“Mak Iti dan seluruh team di SN Legacy akan membantu, memberi tunjuk ajar, dan komitmen terbaik kepada Umairah untuk memastikan kejayaannya sebagai anak seni,” katanya.
Pengumuman ini sekali gus menandakan usaha SN Legacy dalam memperkukuhkan barisan artis mereka, di samping memberikan platform dan sokongan kepada bakat baharu untuk menyerlah dalam dunia seni.
Dengan bimbingan ikon ternama seperti Dato’ Seri Siti Nurhaliza, Umairah dijangka mampu mencipta nama dalam industri hiburan tanah air.