Ikuti Kami:

Dato’ M. Nasir Buktikan Rock Masih Hidup dalam Konsert CIPTA 3

Dato’ M. Nasir Buktikan Rock Masih Hidup dalam Konsert CIPTA 3

Maestro muzik tanah air, Dato’ M. Nasir membuktikan bahawa muzik rock masih segar dan relevan apabila ribuan peminat membanjiri Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi untuk menyaksikan konsert DATO’ M.N46IR CIPTA 3: Malam Ini Gua Rock.

Konsert anjuran Icon Entertainment dengan kerjasama strategik bersama Etiqa itu berlangsung selama lebih dua jam, menampilkan persembahan penuh bertenaga daripada penyanyi, komposer dan penulis lirik berusia 67 tahun itu.

Pentas dibuka dengan gabungan lagu Isi Atau Kulit, Musnah dan Jerangkung Dalam Almari, diikuti Pembakar Perasaan, Opera Hidup serta Apa Lagi. Sorakan peminat semakin memuncak apabila beliau mempersembahkan Laila Namamu Teratas, Srikandi Cintaku serta medley Jiwa-Jiwa Luka dan Rupa Tanpa Wajah.

Segmen pertengahan konsert menyaksikan rangkaian medley panjang termasuk Pertama Dan Selamanya, Rendang Tak Berbuah, Mahligai Syahdu, Falsafah Cinta, Dibayang Awan, Ukiran Jiwa dan Meniti Titian Usang.

Lagu seperti Di Jalan Sesat, Kau Ratnaku, Hipokrasi serta Aku Dah Bosan pula menghidupkan semangat rock dengan penuh bertenaga, sebelum suasana dilenturkan dengan Cinta Sepi, Saatku Idamkan dan Gemuruh.

Kenangan bersama kumpulan Kembara turut dihidupkan menerusi Impian Seorang Nelayan, diikuti medley Perjuangan, Hati Emas, Gerhana dan Duit Duit. Sebagai penutup, Apokalips dan Pawana versi koplo menjadi kemuncak konsert, diiringi sorakan panjang penonton.

Dato’ M. Nasir menyifatkan konsert tersebut bukan sahaja sebagai penutup trilogi CIPTA, tetapi juga sebagai perayaan muzik rock yang masih bernafas di Malaysia.

“Konsert ini adalah keraian dalam dunia rock. Rock itu satu tenaga, tenaga yang sukar untuk ditinggalkan. Walaupun orang kata rock sudah mati, sebenarnya tidak. Rock itu masih ada dan malam ini saya bersama peminat membuktikannya,” katanya.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang pula menyatakan pihaknya mahu memastikan konsert penutup trilogi ini memberikan pengalaman berbeza buat peminat.

“Setiap konsert CIPTA mempunyai keistimewaan tersendiri. Malam ini kami bawakan konsep rock sepenuhnya kerana kami mahu peminat melihat sisi lain Dato’ M. Nasir yang jarang ditampilkan. Ini adalah malam bersejarah untuk semua,” jelasnya.

Peminat yang hadir dengan tema pakaian Rock Cara Lu… Janji Rock menjadikan suasana seakan pesta muzik era 80-an dan 90-an, melengkapkan lagi keunikan malam tersebut.

Konsert CIPTA 3 menutup tirai trilogi selepas kejayaan DATO’ M.N45IR CIPTA dan CIPTA 2 pada 2024 serta edisi khas CIPTA RAYA pada April lalu, sekali gus menegaskan kedudukan Dato’ M. Nasir sebagai ikon muzik Nusantara yang terus menghidupkan roh rock merentas generasi.

Komen
Loading...