Ikuti Kami:

Dato’ Khadijah Ibrahim Lancar Sos Cili Pedas Ibu Di St Rosyam Mart

Dato’ Khadijah Ibrahim Lancar Sos Cili Pedas Ibu Di St Rosyam Mart

Penyanyi legenda tanah air, Dato’ Khadijah Ibrahim terus mengukuhkan langkahnya dalam dunia keusahawanan apabila secara rasmi melancarkan produk terbaharu beliau, Sos Cili Pedas Ibu di St Rosyam Mart, Jalan Kebun, Klang semalam.

Majlis pelancaran yang berlangsung meriah itu disambut hangat oleh peminat setia, pelanggan pasar raya serta wakil media yang hadir bagi memberi sokongan kepada ikon seni negara tersebut.

Dato’ Khadijah berkata, penghasilan Sos Cili Pedas Ibu ini merupakan usaha beliau untuk berkongsi resipi warisan keluarga yang telah lama menjadi kegemaran insan tersayang.

Sos ini tampil dengan rasa pedas, pekat dan penuh keaslian, sesuai bagi pencinta masakan berempah dan pedas.

“Sos ini adalah simbol kasih saya kepada peminat dan masyarakat. Saya ingin berkongsi rasa asli yang selalu menjadi kegemaran keluarga saya kepada seluruh rakyat Malaysia dan luar negara. Saya amat bersyukur atas sokongan yang diberikan sepanjang perjalanan seni mahupun perniagaan saya,” katanya.

Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk kuiz, permainan interaktif, sesi karaoke bersama Dato’ Khadijah serta demonstrasi masakan menggunakan Sos Cili Pedas Ibu.

Para pengunjung turut berpeluang menikmati sendiri keenakan produk ini melalui sesi rasa percuma yang disediakan.

Dalam masa sama, Dato’ Khadijah mengumumkan bahawa sebahagian daripada hasil jualan Sos Cili Pedas Ibu akan disalurkan kepada Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) bagi membantu kebajikan golongan artis tempatan yang memerlukan.

Sos Cili Pedas Ibu kini boleh didapati secara eksklusif di St Rosyam Mart serta platform dalam talian seperti Shopee dan TikTok Shop.

Langkah Dato’ Khadijah ini membuktikan bahawa selebriti tanah air tidak hanya berjaya dalam bidang seni, malah turut cemerlang dalam dunia perniagaan demi memberikan nilai tambah kepada masyarakat dan industri makanan tempatan.

Komen
Loading...