Ikuti Kami:

Dato’ Khadijah Ibrahim Lancar Sos Cili Ibu, Hasil Jualan Disalurkan Kepada Anak Seni

Dato’ Khadijah Ibrahim Lancar Sos Cili Ibu, Hasil Jualan Disalurkan Kepada Anak Seni

Penyanyi lagenda tanah air, Dato’ Khadijah Ibrahim kini tampil dengan inisiatif murni apabila melancarkan produk makanan sulung beliau, Sos Cili Ibu, yang bukan sahaja menyajikan rasa warisan air tangannya, tetapi turut menjadi platform amal apabila hasil jualan produk ini akan disalurkan bagi membantu anak seni tempatan yang memerlukan

Uniknya, Dato’ Khadijah mengumumkan bahawa sebahagian daripada hasil jualan produk ini akan disalurkan terus kepada Persatuan Karyawan Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang membantu artis dan selebriti tempatan yang berdepan cabaran hidup, termasuk masalah kesihatan dan kekurangan pendapatan.

“Saya mahu setiap botol Sos Cili Ibu yang dibeli membawa nilai bukan hanya dari segi rasa, tetapi juga nilai kasih sayang dan kemanusiaan. Ini hadiah saya kepada peminat dan juga usaha kecil saya untuk bantu rakan-rakan dalam industri,” kata Dato’ Khadijah.

Produk Sos Cili Ibu dihasilkan menggunakan resipi turun-temurun milik Dato’ Khadijah sendiri, dengan gabungan rasa pedas, manis dan masam secara seimbang.

Ia sesuai dijadikan pencicah atau bahan masakan dalam pelbagai hidangan seperti ayam masak merah, mee goreng dan makanan barat seperti burger dan piza.

Menggunakan bahan-bahan segar seperti cili merah berkualiti tinggi, bawang putih, cuka asli dan sedikit gula, Sos Cili Ibu tampil sebagai produk premium yang menitikberatkan kualiti serta keselamatan untuk seisi keluarga.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Bukit Gasing, Petaling Jaya hari ini turut diserikan dengan kehadiran rakan selebriti seperti Noor Shila Amin dan Rozita Rohaizad yang hadir memberi sokongan padu terhadap inisiatif penuh murni ini.

Selain dijual di pasaraya St Rosyam Mart, produk ini juga boleh dibeli secara dalam talian melalui TikTok Shop dan Shopee. Malah, Sos Cili Ibu kini telah menembusi pasaran luar negara termasuk Singapura dan Brunei.

Dato’ Khadijah turut menggalakkan pembelian secara pukal sebagai cenderamata korporat, memandangkan produk ini bukan sahaja menyelerakan, tetapi membawa misi membantu anak seni tempatan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.ibufood.com atau menghubungi talian +6017 689 4645.

Komen
Loading...