Ikuti Kami:

Dato’ Awie Buktikan Rock Malaysia Masih Berbisa!

Dato’ Awie Buktikan Rock Malaysia Masih Berbisa!

Konsert TRIAD yang berlangsung pada malam Jumaat di Zepp KL telah mencipta sejarah dengan persembahan penuh bertenaga daripada legenda rock tanah air, Dato’ Awie.

Malam yang dinanti-nantikan ini bukan sekadar sebuah konsert biasa, tetapi juga menyaksikan detik bersejarah apabila Dato’ Awie secara rasmi menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records sebagai “First Artiste to Lead Multiple Bands in a Rock Concert 2025”.

Dihadiri 2,400 peminat, konsert ini menyaksikan Dato’ Awie memimpin tiga kumpulan rock ikonik – Wings, Dragon Malaya, dan Search – dalam sebuah persembahan luar biasa.

Dengan lebih 25 lagu hits sepanjang tiga dekad, penonton dibawa mengimbau zaman kegemilangan muzik rock tempatan.

Apa yang lebih mengagumkan, suara Awie masih utuh seperti dahulu – lantang, bertenaga, dan persis seperti dalam rakaman kaset! Setiap lagu yang dinyanyikannya seakan membawa peminat kembali ke era kegemilangan rock tanah air, membuktikan bahawa vokalnya kekal ampuh dan tidak dimamah usia.

Malam penuh epik ini dimulakan dengan persembahan Wings, yang membuka pentas dengan Puisi Merdeka dan Sekeping Kertas Bermaruah, sebelum menggamatkan suasana dengan Jerangkung Dalam Almari, Sejati, dan Romania.

Kemuncak segmen ini hadir menerusi Taman Rashidah Utama, yang disampaikan bersama kumpulan koir, mencipta momen yang memukau dan menggetarkan jiwa penonton.

Seterusnya, Dragon Malaya mengambil alih pentas dengan Rentap, diikuti Bumi Kita Ada Naga, Medley – Kau Yang Mula Dulu & Di Penjara Janji, Rock N Roll Ronda-Ronda, Mabuk Cinta, dan Kuda Tiga Kaki.

Persembahan mereka ditutup dengan penuh bergaya menerusi lagu Maya, yang mendapat sorakan padu daripada penonton.

Malam diteruskan dengan Search, yang menggegarkan Zepp KL dengan Pasti, Diari Habil Qabil, dan Di Pintu Sepi.

Sorakan gemuruh bergema apabila Dato’ Awie membawakan Nur Nilam Sari bersama kumpulan koir, diikuti Balada Pemuzik Jalanan dan Rock N Roll Pie.

Persembahan diteruskan dengan Musnah, Kejora, Mentari Merah di Ufuk Timur, sebelum ditutup dengan Kereta Merah, yang dinyanyikan beramai-ramai bersama penonton.

Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu bukti bahawa Dato’ Awie kekal sebagai ikon rock Malaysia, merentas generasi.

TRIAD bukan sahaja menghidupkan nostalgia rock tanah air, tetapi juga mengukuhkan legasi muzik yang tidak akan pudar ditelan zaman.

Komen
Loading...