Ikuti Kami:

Dato’ Awie Berlatih Hampir 9 Jam Sehari Demi Konsert TRIAD

Dato’ Awie Berlatih Hampir 9 Jam Sehari Demi Konsert TRIAD

Dalam usaha menjayakan Konsert TRIAD yang menggabungkan tiga kumpulan rock ikonik – Wings, Search Kid Din, dan Dragon Malaya – Dato’ Awie berkongsi tentang cabaran besar yang dihadapinya, termasuk jadual latihan intensif yang mencecah sembilan jam sehari.

Konsert yang akan diadakan pada Jumaat, 14 Feb di Zepp Kuala Lumpur ini memerlukan daya tahan fizikal dan mental yang tinggi, terutama untuk memastikan persembahan nanti berada pada tahap terbaik.

“Kami menjalani latihan hampir setiap hari. Latihan dengan Wings dua hingga tiga jam, kemudian Dragon Malaya dua hingga tiga jam, dan Search Kid Din juga dua hingga tiga jam. Keseluruhannya, hampir sembilan jam sehari,”

“Kadang-kadang, saya sampai tak larat. Suara pun kena jaga. Ada hari saya terpaksa berehat kerana latihan berterusan ini sangat mencabar tenaga,” kata Dato’ Awie kepada media selepas sesi latihan bersama Search Kid Din pada Jumaat.

Dato’ Awie turut mendedahkan bahawa salah satu cabaran besar ialah menyesuaikan diri dengan identiti muzik yang berbeza antara tiga kumpulan.

“Muzik Wings dan Search dah tak ada masalah. Dengan Dragon Malaya, saya masih perlu memperbaiki hafalan lirik dan susunan lagu,” tambahnya.

Walaupun begitu, beliau mengakui bahawa semangat dan keinginan untuk memberikan persembahan terbaik menjadi motivasi utamanya.

“Ini bukan hanya tentang konsert biasa. Kami mahu mencipta sesuatu yang istimewa untuk Malaysia – sesuatu yang peminat akan kenang sampai bila-bila.” katanya.

Menurut Dato’ Awie atau nama penuh Dato’ Ahmad Azhar bin Othman, persiapan kini telah mencapai tahap 80%, dan beliau yakin baki hari sebelum konsert cukup untuk memperhalusi semua aspek.

Setiap kumpulan akan diberikan slot masa sekitar 45 minit hingga sejam untuk memastikan kepelbagaian lagu dapat dipersembahkan.

“Kami mahu gabungkan nostalgia zaman kegemilangan Search, Wings, dan Dragon Malaya dalam satu pentas. Setiap lagu dipilih untuk mengimbau memori indah peminat,” katanya.

Walaupun latihan harian yang panjang memberi tekanan besar, penyanyi kumpulan Wings itu tetap bersemangat dan komited untuk memastikan Konsert TRIAD meninggalkan kesan mendalam kepada peminat.

“Ini adalah dedikasi kami untuk peminat dan untuk muzik rock Malaysia. Kami berjanji akan buat yang terbaik.” ujarnya lagi.

Konsert ini dicalonkan untuk pengiktirafan The Malaysia Book of Records dalam kategori “First Artiste to Lead Multiple Bands in a Rock Concert 2025”.

Pengiktirafan ini diberikan kepada legenda rock tanah air, Dato’ Awie, yang akan memimpin tiga kumpulan rock ikonik dalam satu malam – Wings, Search Kid Din, dan Dragon Malaya.

Konsert TRIAD akan diadakan pada Jumaat, 14 Feb di Zepp Kuala Lumpur, bagi peminat yang ingin menjadi sebahagian daripada malam bersejarah ini, tiket boleh didapati di https://rpm.ubertickets.asia

Komen