Ikuti Kami:

Dato’ Ahmad Tamimi Gali Luka Dalam Dunia Mak Yong dan Jiwa Seniman dalam ‘DENU’

Dato’ Ahmad Tamimi Gali Luka Dalam Dunia Mak Yong dan Jiwa Seniman dalam ‘DENU’

Filem baharu arahan YBhg. Dato’ Ahmad Tamimi Siregar berjudul DENU bakal membuka mata penonton terhadap sisi gelap dunia seni tradisional dan pergolakan jiwa para seniman yang sering terpinggir.

Mengangkat seni warisan Mak Yong sebagai latar, filem ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 21 Ogos ini.

Dengan kos penerbitan mencecah RM1.8 juta dan diterbitkan oleh True Legacy Sdn Bhd, DENU bukan sekadar sebuah karya sinematik budaya tetapi ia merungkai konflik batin, cinta, dan idealisme dalam dunia seni yang sering disalah guna demi kepentingan pihak tertentu.

Menampilkan Sabri Yunus sebagai Pak Yeh, filem ini memaparkan keazaman seorang tokoh Mak Yong mempertahankan keaslian seni pusaka. Namun kehadiran Amiruddin (Hairi Safwan), anak muda idealis dari Kota Bharu, menggugat kestabilan apabila cuba mengubah bentuk persembahan demi kemajuan.

Tekanan semakin memuncak apabila Amiruddin mendekati Asmah (Nad Zainal), isteri muda Pak Yeh yang juga bercita-cita menjadi primadona Mak Yong.

Menurut pengarah, filem ini terhasil daripada pengalaman peribadi dan pemerhatiannya terhadap realiti seniman yang sering dijadikan alat dalam pergelutan kuasa dan kepentingan.

“Denu adalah representasi alam seni dan manusia pendukungnya. Ia suara halus saya tentang bagaimana seni digunakan, diperguna dan akhirnya dibuang apabila tiada lagi kepentingan,” kata Dato’ Ahmad Tamimi.

Tambahnya, filem ini juga membawa makna tersendiri apabila ramai yang terlibat sejak awal penghasilan Denu telah pergi menghadap Ilahi, termasuk penulis asal skrip dan penasihat skrip.

“Denu ajaib bagi saya kerana ramai yang bertungkus-lumus menyempurnakan filem ini kini sudah berada ‘di sana’. Ini membuatkan saya lebih tekad untuk memastikan ia disiapkan dengan penuh penghormatan,” ujar Tamimi.

Filem ini juga menonjolkan pendekatan visual simbolik, termasuk penggunaan cahaya dan bayang sebagai metafora kepada konflik jiwa watak-watak.

“Saya sengaja meletakkan pelakon dalam suasana gelap dan terang sebagai metafora kepada konflik batin mereka. Imej-imej ini bukan hanya untuk gaya, tetapi untuk mengungkap emosi yang tidak terluah,” jelas beliau.

Selain Sabri Yunus, Nad Zainal dan Hairi Safwan, barisan pelakon turut dibarisi Azman Hassan, Che Kem, dan Iman Al Haixal sebagai Ramli, anak muda yang terperangkap antara impian dan realiti.

Penggambaran dijalankan di Batu Kurau dan Shah Alam dengan penggunaan CGI untuk menampilkan suasana Kota Bharu era 1950-an.

DENU tampil sebagai naskhah berani yang menggali luka lama dunia seni, menyentuh soal keikhlasan, pengorbanan dan harga yang dibayar oleh para seniman demi mempertahankan martabat seni budaya.

DENU bakal ditayangkan bermula 21 Ogos 2025 di seluruh pawagam utama negara. Saksikan kisah perjuangan, cinta dan pengorbanan dalam dunia Mak Yong yang jarang disingkap.

Komen
Loading...