Pusat Pengajian al-Quran dan Fardu Ain Darul Mustaqqim (DM) terus melakar perjuangan tersendiri apabila bukan sahaja menyebarkan ilmu agama secara percuma, tetapi juga membantu mangsa-mangsa ahlong di seluruh negara tanpa mengenakan sebarang caj.
Majlis pembukaan ibu pejabat (HQ) baharu Darul Mustaqqim semalam berlangsung penuh bermakna apabila ia turut diserikan dengan sambutan ulang tahun keempat penubuhan pusat itu serta majlis memperingati Haul Al-‘Arif Billah Sayyidi Abd Hamid bin Ismail atau lebih dikenali sebagai Paksu Mid Bukit Tembaga, guru mursyid yang menjadi sumber inspirasi perjuangan DM.
Dalam ucapan yang disampaikan oleh Dato’ Mohd Zaki bin Dato’ Zainol (Pengurus Besar DM) bagi pihak Pengerusi DM, Dato’ Mustaqqim bin DS Mustapa, beliau menzahirkan rasa syukur atas dua keberkatan besar yang diraikan, iaitu pembukaan HQ baharu dan ulang tahun keempat penubuhan Darul Mustaqqim.

“Darul Mustaqqim bukan sekadar tempat belajar, tetapi taman hati, tempat benih cinta Ilahi ditanam, disiram dengan zikir dan disuburi dengan adab,” katanya.
Menurut beliau, perjalanan empat tahun DM bukan sesuatu yang singkat, bermula daripada ruang kecil dengan visi besar untuk memperluaskan pengajian al-Quran dan Fardu Ain secara percuma sambil membina sistem bimbingan bagi membantu mereka yang terjerat dengan pinjaman tidak berlesen, scammer dan tekanan hidup.
Sementara itu, Ketua Unit Banteras Ahlong DM, Adam Mustapa atau dikenali sebagai Along DM, berkata sejak empat tahun lalu, pusat ini menyaksikan peningkatan ketara dalam jumlah peserta program bimbingan dan mangsa ahlong yang datang mendapatkan bantuan.

Ketua Unit Banteras Ahlong DM, Adam Mustapa atau dikenali sebagai Along DM
“Darul Mustaqqim satu-satunya pusat yang membantu mangsa ahlong tanpa mengenakan sebarang caj. Kami berunding terus dengan pihak ahlong bagi menyelesaikan hutang mangsa secara ‘bayaran balik on-hand’, tanpa faedah atau keuntungan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa ramai mangsa yang ditipu oleh individu atau kumpulan yang menyamar sebagai perunding ahlong sedangkan mereka sekadar mencari keuntungan melalui konten di media sosial.
“Kami bukan NGO atau badan kutipan dana. DM digerakkan sepenuhnya sebagai pusat pengajian dan dakwah. Kami gunakan pengalaman kami dalam dunia pinjaman tidak berlesen dahulu untuk menarik mereka yang terjebak kembali ke jalan ilmu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman segera yang berunsur riba.
“Kita bukan hanya mahu selesaikan hutang mereka, tetapi mahu ubah cara hidup. Riba bukan sekadar hutang, ia membawa kesan kepada keluarga dan keberkatan hidup,” ujarnya.
Dengan semangat yang sama, Darul Mustaqqim berikrar untuk terus menjadi pusat ilmu dan zikir, tempat melahirkan generasi Rabbani yang mengenal Allah sebelum mengenal dunia, meneruskan perjuangan suci tanpa mengharapkan sebarang bayaran, hanya redha Ilahi sebagai ganjaran.




