Darkkey Gegar Melaka: Konsert Amal ‘King of Samba Rock’ 2 Ogos Ini
- oleh Mohd Indera
- 2 hari lalu

Legenda muzik Tamil tanah air Darkkey Nagaraja bakal menggamatkan Melaka menerusi konsert amal solo sulungnya bertajuk I Am Darkkey King of Samba Rock Concert yang dijadual berlangsung pada 2 Ogos ini di Panggung Bangsawan Melaka.
Konsert yang bukan sahaja dinanti peminat setia Darkkey tetapi juga pencinta muzik tempatan itu dianjurkan Melaka Maju Peoples Charity Club MMPCC sebagai inisiatif mengumpul dana kebajikan sambil mengangkat martabat seni muzik Tamil tempatan.
Presiden MMPCC T Manimaran berkata pemilihan Darkkey sebagai peneraju konsert adalah bertepatan dengan kejayaan terkininya yang mencipta nama dalam industri filem Kollywood menerusi lagu AK The Tiger untuk filem Good Bad Ugly.
“Darkkey bukan sekadar ikon muzik malah simbol perjuangan seni sejak era 90an. Konsert ini bukan sekadar hiburan tetapi wadah untuk menyokong kerja kebajikan MMPCC yang memfokuskan kepada bantuan kepada golongan miskin anak yatim dan pendidikan” jelasnya.
Lebih menarik konsert berdurasi dua jam itu turut menampilkan dua bintang muda berbakat besar Santesh dan Zubir Khan mewakili kesinambungan generasi muzik pelbagai kaum di negara ini.
Santesh mula mencipta nama sejak usia belasan tahun dan melonjak ke arus perdana dengan lagu Amalina manakala Zubir yang berketurunan Melayu Pakistan dikenali dengan lagu Yennode Macha yang mencipta fenomena di media sosial.
Setiausaha MMPCC S Partiben yakin konsert ini mampu menyatukan masyarakat menerusi muzik sambil memperkenalkan MMPCC sebagai NGO yang komited terhadap komuniti.
“Tiga generasi artis dalam satu pentas ini bukan sesuatu yang sering kita saksikan. Darkkey Santesh dan Zubir mewakili legasi semangat dan masa depan seni muzik kita” ujarnya.
Tiket konsert akan mula dijual secara rasmi pada 6 Jun ini melalui ilassotickets.com dengan harga bermula RM69 untuk kategori berdiri Puli Puli RM79 untuk tempat duduk Akamage dan RM89 untuk kategori Adiva Adiva. Pembeli tiket tempat duduk akan menerima hadiah istimewa seperti lanyard eksklusif dan poster bertandatangan artis.
Konsert ini turut disokong oleh Patahati Universe selaku penerbit dengan Panggung Bangsawan Melaka dan Tourism Melaka sebagai rakan strategik. Mewah Event Management mengurus publisiti manakala iLasso Tickets bertindak sebagai ejen tiket rasmi.
Pengurus Besar Panggung Bangsawan Melaka Datin Sukhirah Ibrahim menyifatkan konsert ini sebagai simbol kebangkitan semula lokasi bersejarah tersebut sebagai hab seni moden.
“Panggung ini asalnya pawagam Cathay dan kini diubah suai oleh MCorp menjadi pusat seni dalam zon buffer UNESCO. Penganjuran konsert unik seperti ini adalah antara usaha kami memasyarakatkan seni persembahan secara lebih meluas” katanya.
Sementara itu Pengarah Projek Patahati Universe Cassandra berkata konsert ini membuka ruang kepada Melaka sebagai alternatif baharu dalam penganjuran acara muzik berskala besar.
“Ia hanya permulaan. Kami percaya Melaka mampu menjadi tumpuan bakat tempatan dan antarabangsa dengan harga tiket lebih kompetitif serta latar seni dan budaya yang kaya” katanya.
Sebagai penutup Manimaran menyeru orang ramai menyokong usaha ini bukan sekadar untuk berhibur tetapi juga sebagai tanda solidariti terhadap kerja kebajikan dan seni tempatan.