Ikuti Kami:

Dari “Yah Kuchai” ke Pentas Muzik: Afea Deanna Lancar Single Inggeris

Dari “Yah Kuchai” ke Pentas Muzik: Afea Deanna Lancar Single Inggeris

Dari pentas lakonan ke dunia nyanyian, pelakon yang pernah mencuri perhatian dengan watak “Yah Kuchai”, Afea Deanna Baharudean atau lebih dikenali sebagai Yah!, kini melangkah ke fasa baharu kerjayanya sebagai penyanyi.

Langkah berani itu dimulakan dengan pelancaran single pertama berbahasa Inggeris berjudul My Song To You yang mula boleh didengari di semua platform digital hari ini. Lagu itu diperkenalkan lebih awal kepada peminat melalui TikTok pada 30 Mei lalu.

Yah!, yang dikenali dengan dialog ikonik “Mi Kari Kuah Laksa” dalam drama arahan Allahyarham Mamat Khalid, mengejutkan peminat dengan sisi baharunya sebagai penyanyi dan penulis lirik.

“Lagu ini saya tulis sendiri dengan penuh emosi. Ia tentang cinta, penghargaan dan pemulihan diri. Saya mahu yang mendengarnya rasa dihargai dan tidak keseorangan,” jelas Yah!.

My Song To You adalah hasil kolaborasi Yah! bersama tiga komposer iaitu Ku Yen, Barr Hadif dan Rudy Nastia serta diterbitkan menerusi gabungan dua label muzik Buduck Records dan Sony Music Malaysia.

Menariknya, Yah! turut menggunakan latar belakang akademiknya dalam bidang pengajaran Bahasa Inggeris (TESL) sebagai kekuatan dalam penulisan lagu.

“Ramai tak tahu saya pernah belajar TESL di UPSI. Menulis dalam Bahasa Inggeris memang dekat dengan saya dan saya mahu jadikannya medium untuk berkongsi kisah saya,” katanya.

Lebih daripada sekadar mencuba-cuba, Yah! menyifatkan ini sebagai permulaan serius dalam dunia muzik.

“Saya tahu ini langkah pertama tapi saya percaya suara kita juga layak didengari di luar sana. Ini bukan sekadar fasa, ini impian saya yang sebenar.”

Yah!, anak kelahiran Johor, turut berharap lagu ini dapat membuka ruang lebih luas bukan sahaja kepada peminat tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Saya mahu ‘My Song To You’ jadi jambatan antara saya dan dunia luar. Orang Malaysia juga ada cerita yang kuat untuk dikongsi.”

Dari watak lucu ke luahan jiwa melalui muzik, transformasi Yah! membuktikan bahawa seni tidak terhad pada satu bentuk dan suara hati kadangkala lebih lantang dalam bait lagu.

Komen
Loading...