Ikuti Kami:

Dari Studio ke Paris: Adam & Kat Roshan Kongsi Kisah di Sebalik “Hey U”

Dari Studio ke Paris: Adam & Kat Roshan Kongsi Kisah di Sebalik “Hey U”

Penyanyi dan penulis lagu berbakat, Adam dan Kat Roshan, mencipta sejarah dalam kerjaya muzik mereka dengan kolaborasi pertama menerusi lagu Hey U.

Lagu ini bukan sekadar melodi biasa, tetapi sebuah kisah cinta penuh emosi yang menyentuh realiti hubungan yang kompleks.

Menurut Adam, Hey U mengisahkan seorang wanita yang begitu mencintai pasangannya, manakala si lelaki pula berusaha mengubah sikap buruknya yang sering curang.

Namun, perubahan yang dijanjikan tidak pernah menjadi kenyataan. “Ini kisah cinta segi tiga yang biasa kita dengar, tetapi sangat ‘relatable’ kerana ramai yang pernah mengalaminya,” katanya.

Bagi Kat Roshan, lirik lagu ini menyampaikan rasa kecewa dan sindiran seorang wanita yang menyedari kecurangan pasangannya tetapi masih terperangkap dalam perasaannya.

“Saya percaya ramai boleh merasakan sendiri situasi ini dalam kehidupan mereka,” ujarnya.

Menariknya, penggambaran video muzik Hey U dilakukan di beberapa lokasi ikonik di Paris dalam tempoh yang singkat.

Adam berkongsi bahawa pengalaman itu menyeronokkan tetapi penuh cabaran kerana mereka perlu bergerak pantas dari satu lokasi ke lokasi lain untuk mendapatkan rakaman terbaik.

Kat Roshan pula menyifatkan suasana Paris sebagai sesuatu yang begitu mempesonakan sehingga mereka cuba merakam sebanyak mungkin pemandangan indah.

“Kami hanya mempunyai satu setengah hari untuk menyelesaikan penggambaran, jadi semuanya terasa spontan. Saya juga mengalami sedikit masalah kesihatan akibat makanan, tetapi tetap berjaya menghabiskan rakaman,” katanya.

Lagu ini dihasilkan dengan kerjasama beberapa individu kreatif seperti Asyraf Nasir sebagai penulis lirik bersama, serta Radityo dan Jayson Teoh sebagai penerbit.

Video muzik Hey U pula diarahkan oleh Tobias Nash, yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan Kat Roshan dalam I’m A Rebel.

Adam berharap lagu ini dapat diterima baik oleh pendengar kerana mesejnya yang dekat dengan pengalaman ramai.

“Saya mahu lagu ini menceriakan orang. Ia ringan, menyeronokkan, dan pastinya ramai boleh kaitkan dengan kisah cinta masing-masing,” katanya.

Kat Roshan turut berharap Hey U mendapat sambutan baik dan memberikan impak positif kepada peminat.

“Saya yakin ramai akan dapat menghayati mesej lagu ini. Semoga ia menyentuh hati pendengar,” tambahnya.

Hey U kini boleh didengarkan di semua platform penstriman muzik utama.

Komen
Loading...