Ikuti Kami:

Dari Rahim Yang Sama: Nabila Huda Hidupkan Watak Ibu Kejam dalam Naskhah Sarat Emosi

Dari Rahim Yang Sama: Nabila Huda Hidupkan Watak Ibu Kejam dalam Naskhah Sarat Emosi

Pelakon versatil Nabila Huda sekali lagi membuktikan kemampuan lakonannya apabila tampil dengan watak penuh cabaran menerusi drama terbaru Dari Rahim Yang Sama, yang akan mula bersiaran pada 14 April ini dalam slot Samarinda TV3, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.

Dalam drama sarat emosi terbitan Anomali Media ini, Nabila membawa watak Suraya, seorang ibu tunggal yang bukan sahaja mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anaknya, malah sanggup menafikan hak identiti mereka demi kepentingan diri sendiri.

Nabila Huda, yang terkenal dengan keupayaan menjelmakan karakter penuh emosi, menghidupkan watak Suraya – antara peranan paling gelap dan kejam dalam senarai watak yang pernah dibawakannya.

Drama ini mengisahkan Balqis (lakonan Mhia Firdaus), seorang remaja yang terpaksa menggalas tanggungjawab menjaga dua adik lelakinya, Aqil (Rykarl Iskandar) dan Afiq (Rafique Iskandar), selepas ibu mereka gagal menjalankan tanggungjawab sebagai penjaga.

Lebih menyayat hati, ketiga-tiga adik-beradik ini tidak pernah didaftarkan kelahiran mereka, menjadikan mereka tidak layak menikmati kehidupan normal seperti remaja lain.

Konflik memuncak apabila Suraya akhirnya mengakui bahawa dia sengaja tidak mendaftarkan anak-anaknya kerana takut ditinggalkan oleh Balqis – sebuah pengakuan yang menjadi titik tolak kepada perjuangan Balqis menuntut pengiktirafan dan kehidupan yang lebih baik.

Diarahkan oleh Amor Rizan dan ditulis oleh Naza Manas, Dari Rahim Yang Sama bukan hanya sebuah drama keluarga, tetapi juga satu kritikan sosial terhadap isu-isu seperti kecuaian ibu bapa, anak tidak sah taraf, dan ketidakadilan terhadap kanak-kanak yang terpinggir.

Barisan pelakon turut dimeriahkan dengan kehadiran Angeline Tan dan Kahoe Hon, menjadikan drama ini sebuah produksi yang dijangka memberi impak mendalam kepada penonton.

Selain siaran di TV3, penonton juga boleh menonton drama ini 24 jam lebih awal secara eksklusif di platform Tonton.

Untuk maklumat lanjut dan kandungan eksklusif, ikuti TV3 Malaysia dan @dramasangat di semua platform media sosial.

Komen
Loading...