Ikuti Kami:

​Dari Kereta Nasional ke Wakaf Bugi EV: Go Auto Bantu Madrasah

​Dari Kereta Nasional ke Wakaf Bugi EV: Go Auto Bantu Madrasah

​Ibarat pepatah ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’, pengasas GVT Sdn Bhd (Go Auto), Wan Ahmad Wan Omar, membuktikan bahawa kepakaran anak tempatan dalam industri automotif bukan sahaja mampu bersaing di peringkat global, malah terus berbakti kepada masyarakat melalui inisiatif wakaf yang luar biasa.

​Wan Ahmad, atau lebih dikenali sebagai WAWO, baru-baru ini telah mewakafkan sebuah kereta bugi elektrik (EV) sebagai tanda kesyukuran untuk kegunaan Madrasah Ustaz Wadi Annuar di sini.

Langkah tersebut bertujuan memudahkan pergerakan jemaah yang sentiasa membanjiri madrasah berkenaan, terutamanya pada setiap hari Sabtu.

​Beliau yang merupakan bekas jurutera dalam pasukan pengasas projek kereta nasional kedua, Perodua, telah mengambil risiko besar dengan meninggalkan kerjaya korporat selesa untuk membina kilang kenderaan sendiri.

​Hasil keberanian tersebut, Go Auto kini telah menghasilkan hampir 10,000 unit kenderaan merangkumi van, bas, dan trak.

Syarikat milikan Bumiputera itu turut melakar sejarah sebagai yang pertama menghasilkan van komersial EV di Malaysia yang telah pun digunakan secara meluas di lapangan.

​Lebih membanggakan, WAWO berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat melalui eksport kereta bugi EV yang dilengkapi teknologi canggih seperti sistem solar, sistem telematik, dan GPS.

Apa yang menarik, sebanyak 80 peratus komponen kenderaan tersebut adalah buatan Malaysia.

​Disebalik kejayaan ini, perjalanan perniagaan WAWO tidaklah sentiasa lancar. Menurut Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman, perniagaan Go Auto hampir terkubur sepenuhnya pada tahun 2020. Namun, menerusi bimbingan pementoran bersama RichWorks, beliau berjaya bangkit semula dengan struktur perniagaan yang lebih kukuh.

​”WAWO adalah contoh nyata bagaimana seorang usahawan boleh berjaya sambil memberi manfaat kepada masyarakat. Kejayaan bukan sekadar angka jualan, tetapi tentang hati nurani,” ujar Dr. Azizan dalam satu hantaran di media sosialnya.

​Sehingga kini, Go Auto tidak pernah meminggirkan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Selain wakaf kereta bugi EV, syarikat tersebut telah mewakafkan lebih 20 buah van jenazah kepada masjid dan surau, serta menyumbang 2,000 kampit beras setiap tahun kepada golongan memerlukan.

​Pencapaian WAWO turut mendapat pengiktirafan apabila dilantik sebagai pengedar bagi jenama global China seperti Yutong dan Higer, serta menjadi pembekal utama kepada institusi besar seperti Prasarana Malaysia Berhad dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

​Kisah jatuh bangun WAWO bakal dikongsikan secara lebih mendalam dalam program bual bicara Inspirasi Seeni bersama Datuk Wira Dr. Azizan Osman pada Selasa depan, jam 11 pagi di Astro Prima dan saluran YouTube @seeNI.

Bagi usahawan yang ingin mendapatkan bimbingan yang tepat dan struktur perniagaan yang tersusun seperti WAWO, boleh layari SME360.com atau WhatsApp 016-2244244.

Komen
Loading...