Ikuti Kami:

‘Dari Desa, Mereka Mendunia’: Zahid Yakin MAWO Akan Raih Kejayaan di Prague

‘Dari Desa, Mereka Mendunia’: Zahid Yakin MAWO Akan Raih Kejayaan di Prague

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan Maremaf Wind Orchestra (MAWO) untuk mengukir nama di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan dalam International Festival of Wind Orchestra yang akan berlangsung di Prague, Republik Czech, Jun ini.

Zahid Hamidi menekankan bahawa MAWO merupakan simbol kebanggaan negara, terutamanya bagi generasi muda FELDA.

“Pasukan MAWO ini mewakili FELDA, MRSM, MARA, dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Negara. Mereka adalah anak-anak generasi ketiga FELDA, pelajar-pelajar cemerlang, dan kebanyakannya sedang menghafal Al-Quran dengan sekurang-kurangnya beberapa juzuk. Saya yakin mereka akan mengharumkan nama negara di Prague nanti,” katanya kepada media.

Zahid Hamidi turut menegaskan tema ‘Desaku Mendunia: Dari Trolak ke Prague ’ sebagai simbol kemampuan generasi muda FELDA untuk bersaing di pentas dunia dengan bakat, komitmen, dan keazaman tinggi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyarankan agar inisiatif seperti ini diperluaskan ke sekolah-sekolah lain di seluruh negara.

“Bukan hanya MRSM, tetapi saya fikir sekolah-sekolah lain juga perlu diberi peluang untuk menubuhkan pasukan orkestra. Ini boleh menjadi platform untuk pelajar mempamerkan bakat mereka di peringkat antarabangsa. Kerajaan akan terus memberikan sokongan penuh,” ujarnya lagi.

Selain memiliki ‘wind orchestra’ yang menggunakan peralatan muzik tiupan, Zahid turut menyarankan MAWO mengembangkan okestra mereka kepada alatan muzik bertali, terutama sekali violin.

Katanya langkah ini penting untuk memperluaskan dan mengangkat nama orkestra MAWO ke peringkat antarabangsa.

Seramai 53 pelajar dari Maktab Rendah Sains MARA FELDA Trolak, termasuk 39 pelajar daripada Generasi Baharu FELDA, akan mewakili Malaysia dan berpeluang mengharumkan nama negara dalam pertandingan berprestij tersebut.

Bagi meraikan kejayaan ini, FELDA dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Kementerian Komunikasi akan menganjurkan konsert khas bertajuk Konsert Desaku Mendunia: Dari Trolak ke Prague pada 27 dan 28 Mei 2025 di Auditorium Seri Angkasa.

Selain persembahan daripada MAWO, konsert ini turut diserikan oleh artis-artis terkenal seperti Dato’ Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah, dan Yabang Khalifah dan persembahan tarian oleh Zeppo Youngsterz.

Penaja utama U Mobile bersama penaja lain seperti FGV, Sustainable Future, Seri Pacific, MITEC, dan Qube turut menyumbang kepada kejayaan konsert ini, yang menyatukan semangat anak muda FELDA untuk terus berdaya saing di peringkat global.

Acara ini juga menjadi platform pelancaran Mega Karnival 3 Dimensi (3D), yang merangkumi Hari Peneroka FELDA (HPF), Karnival Usahawan Desa (KUD), dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

Komen
Loading...