Ikuti Kami:

Dakwaan Pecah Amanah RM8 Juta: Vivy Yusof dan Suami Mengaku Tidak Bersalah

Dakwaan Pecah Amanah RM8 Juta: Vivy Yusof dan Suami Mengaku Tidak Bersalah

Pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof, dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar, mengaku tidak bersalah atas tuduhan pecah amanah dana pelaburan berjumlah RM8 juta milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB). Tuduhan itu dibacakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis.

Vivy, 37, dan Fadzarudin, 36, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Rosli Ahmad. Pasangan itu, yang hadir dengan pakaian serba putih dan hitam, secara bersama dituduh menyalahgunakan dana pelaburan Khazanah dan PNB melalui pembayaran kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah FashionValet.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 21 Ogos 2018 di Public Bank Berhad, Cawangan Bukit Damansara. Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34, memperuntukkan hukuman penjara dua hingga 20 tahun, sebat, dan denda jika sabit kesalahan.

Memetik Sinar Harian, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala tertuduh diwakili peguam Ashok Athimulan.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan (MoF) mendedahkan bahawa pelaburan sebanyak RM47 juta oleh Khazanah dan PNB pada tahun 2018 hanya memperoleh pulangan RM3.1 juta selepas saham FashionValet dijual kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners, pada 2023.

Ekoran pendedahan ini, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mencadangkan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pengurusan FashionValet dan proses pelaburan terbabit bagi memastikan tiada unsur penyelewengan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan pihaknya telah mengesan beberapa transaksi mencurigakan berkaitan pelaburan FashionValet sejak 2018 hingga 2023. Siasatan menyeluruh dijangka diteruskan bagi membongkar sebarang elemen salah guna kuasa.

Foto Oleh: Shahir Omar | Astro Awani

Komen
Loading...