Dakwa ‘Pasar Malam T20’, Havoc Food Festival Nafi Harga Cekik Darah
- oleh MDaily Editor
- 3 Jan 2026 3:44 pm
Dari kiri: Ketua Pegawai Operasi Havoc Festival, Faizul Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Festival, Datuk Firdaus Nadxaman.
Penganjur acara terkemuka, Havoc Food Festival, tampil menyangkal dakwaan netizen yang melabelkan festival makanan anjuran mereka sebagai ‘pasar malam T20’ susulan isu harga jualan yang didakwa tidak masuk akal.
Isu tersebut tular di media sosial baru-baru ini apabila segelintir pengunjung mengeluh mengenai trend festival makanan masa kini yang dianggap semakin mahal dan tidak lagi mesra poket pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Festival, Datuk Firdaus Nadxaman, menegaskan bahawa prinsip utama mereka sejak tujuh tahun lalu adalah untuk membantu usahawan menjana pendapatan dan bukannya membebankan pembeli dengan harga ‘cekik darah’.
“Alhamdulillah, kami ambil maklum isu sensitif ini. Kami antara pelopor industri ini sejak tujuh tahun lalu. Memang ada penganjur lain yang mengaku menjadikan Havoc sebagai tanda aras (benchmark), namun apa yang membimbangkan adalah apabila kualiti dan harga tidak dikawal sehingga mencetuskan persepsi negatif.
“Sebenarnya tiada istilah harga barangan naik disebabkan penganjur menaikkan sewa tapak. Di Havoc, kami sendiri mengawal harga makanan kepada semua usahawan yang terlibat bagi memastikan ia tetap berpatutan,” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Festival, Datuk Firdaus Nadxaman (kiri) menjawab soalan media berkenaan komen netizen yang melebelkan festival makanan ibarat ‘pasar malam T20’.
Mengulas lanjut mengenai kos penganjuran, Firdaus menjelaskan terdapat banyak kos tersembunyi yang perlu ditanggung oleh pihak penganjur (EO) termasuk permit, logistik, dan sewaan tapak yang mencecah puluhan ribu ringgit.
“Setiap kali kami buat jelajah, harga tapak dan permit akan naik. Malah, kenaikan ini pernah mencecah hampir 60 peratus. Namun, kami tetap cuba mengimbangi kos tersebut tanpa menekan vendor atau pengunjung,” tambahnya lagi.
Selain menawarkan pelbagai aktiviti percuma dan persembahan artis bagi menarik pengunjung, Firdaus turut mendedahkan pihaknya pernah menanggung kerugian apabila terdapat vendor yang berhutang mencecah jutaan ringgit, namun tetap diberi peluang berniaga atas dasar mahu membantu usahawan tempatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Havoc Festival, Faizul Mohd Yusof, menyeru Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya lebih tegas dalam menapis syarikat pengurusan acara sebelum meluluskan sebarang permit festival makanan.
Ujarnya, lambakan festival yang tidak berkualiti bukan sahaja menjejaskan kepercayaan pengunjung, malah boleh memerangkap vendor yang menjadi mangsa penganjur ‘scammer’.
“PBT perlu tapis syarikat yang betul-betul berkualiti. Ramai penganjur baharu hanya fikirkan keuntungan mudah tanpa memikirkan pulangan jualan vendor yang telah menaruh kepercayaan kepada mereka,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Havoc bakal menganjurkan Selangor Havoc Raya Fest 2.0 2026 yang dijadualkan berlangsung selama 96 jam tanpa henti bermula 12 hingga 16 Mac 2026 di Setia City Convention Centre (SCCC), Setia Alam.
Acara yang mendapat sokongan Pejabat Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor itu bakal dimeriahkan oleh barisan pengacara popular seperti Fad Bocey, Sharif Zero, Danial Zaini, serta gandingan Epul dan Talam.




