Da’i Syed Terus Aktif Berdakwah melalui Lakonan dan Perniagaan
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu

Pendakwah selebriti, Da’i Syed, 29, yang sebelum ini terpalit dengan kontroversi apabila didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan merogol seorang wanita, kini berusaha untuk bangkit semula dalam dunia seni dan perniagaan.
Walaupun Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman pada September tahun lalu, insiden itu memberi kesan besar kepada kerjaya seni beliau, terutamanya dengan penurunan ketara dalam tawaran lakonan.
Membawakan watak seorang ustaz di dalam filem Dajal: Satu Malam diPedajal, Da’i Syed meluahkan rasa syukur kerana masih berpeluang untuk terus menyampaikan mesej dakwah melalui medium seni.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak MIG dan pengarah kerana masih memberikan kepercayaan kepada saya untuk menyokong filem ini. Saya melihat ini sebagai satu amanah untuk berdakwah melalui lakonan,” katanya.
Menurut Da’i Syed atau Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful Jamalullail, setiap watak yang diterimanya dipilih dengan teliti agar selari dengan prinsipnya sebagai pendakwah.
“Saya lebih gemar menerima watak-watak seperti ustaz kerana ia membolehkan saya menyampaikan nilai-nilai Islam kepada penonton. Bagi saya, nyanyian dan lakonan juga adalah sebahagian daripada dakwah,” katanya kepada media selepas majlis Malam Gala Dajal: Satu Malam diPedajal pada malam Rabu.
Mengakui kesukaran mendapatkan tawaran lakonan selepas kontroversi yang melanda, Da’i Syed menyifatkan tempoh tersebut sebagai ruang untuk mendekatkan diri kepada keluarga dan perniagaan.
“Alhamdulillah, walaupun tidak ada tawaran lakonan, saya masih menerima rezeki melalui isteri dan perniagaan kami. Kami menjual batu permata dari Mesir, dan ia menjadi salah satu punca rezeki kami,” jelasnya.
Beliau juga menegaskan pentingnya profesionalisme dalam menjalankan tugas sebagai pelakon.
“Saya diberikan amanah untuk melakonkan sesuatu watak, jadi saya berusaha untuk melaksanakannya sebaik mungkin,” katanya.
Walaupun terpalit dengan kontroversi, Da’i Syed percaya seni dan dakwah masih boleh bergandingan untuk menyampaikan mesej positif kepada masyarakat.
“Saya percaya rezeki itu datang dalam pelbagai bentuk. Selagi kita berusaha dan bertawakal, Allah pasti akan mempermudah jalan kita,” katanya.
Terdahulu, Da’i Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada Ogos tahun lalu selepas didapati bersalah atas tuduhan merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.
Da’i Syed berkahwin pada 3 Disember 2022 dengan Hana Ismail, seorang pengacara dan personaliti televisyen. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan pada Ogos 2024.