Daft Punk Discovery ‘Imbau’ Nostalgia Digital Love di JioSpace Julai Ini
- oleh MDaily Editor
- 28 Apr 2026 1:07 pm
Demam muzik elektronik bakal melanda ibu kota apabila siri jelajah dunia yang dinanti-nantikan, Daft Punk Discovery – Digital Love World Tour Live in Malaysia, disahkan akan menggegarkan JioSpace, Petaling Jaya pada 11 Julai depan.
Acara yang dibawakan khas oleh Mediaberg Productions itu bukan sekadar konsert biasa, malah ia dijanjikan sebagai sebuah produksi imersif yang menggabungkan kecanggihan teknologi visual dan garapan seni digital yang memukau.
Penganjur dalam satu kenyataan berkata, persembahan itu diinspirasikan daripada legasi ikonik pelopor muzik elektronik global, Daft Punk, yang telah mencorak budaya muzik merentas generasi.
“Bagi peminat yang membesar dengan irama ini, ini adalah malam untuk menghidupkan kembali memori tersebut menerusi sistem bunyi elektronik yang padu dan rekaan pentas futuristik.
“Daft Punk Discovery diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana keupayaan mereka menterjemah tenaga serta identiti visual ‘robot’ dengan penuh ketepatan di lokasi-lokasi acara besar di Eropah dan Asia sebelum ini,” katanya.

Bagi mengelakkan kekecewaan, peminat digalakkan untuk mendaftar melalui sistem keutamaan Mediaberg yang kini dibuka sehingga 29 April 2026, jam 12:00 tengah hari menerusi laman web rasmi www.mediaberg.com:
– Pendaftaran Akses Keutamaan: Dibuka sehingga 29 April 2026 (12:00 PM).
– Jualan Keutamaan (Priority Sales): 30 April 2026 (12:00 PM – 11:59 PM).
– Jualan Umum (General Sales): Bermula 1 Mei 2026 (11:00 AM).
Sepanjang malam itu nanti, JioSpace akan ditransformasikan menjadi persekitaran futuristik yang dinamik di mana penonton bakal dihidangkan dengan lagu-lagu malar segar seperti One More Time, Get Lucky, Harder Better Faster Stronger, dan Around The World.
Sejajar dengan tagline penganjur iaitu “For The Fans, From The Fans”, produksi ini bermatlamat untuk menghubungkan semula komuniti peminat muzik elektronik di Malaysia.
