Ikuti Kami:

Cromok, Barbarik Bakal Beraksi Di IdeaLive Arena Jun Ini

Cromok, Barbarik Bakal Beraksi Di IdeaLive Arena Jun Ini

Penantian peminat muzik rock dan metal tempatan bakal berakhir apabila dua nama besar, Cromok dan Barbarik, disahkan akan berkongsi pentas menerusi konsert Black On White Cromok-Barbarik pada 27 Jun ini.

Konsert yang dijadualkan berlangsung di IdeaLive Arena, 3 Damansara, Petaling Jaya itu dijangka mencipta fenomena tersendiri dengan menyatukan dua legasi yang mempunyai identiti dan pengaruh besar dalam sejarah muzik tanah air.

Dianjurkan oleh KARL Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, malah menjadi medan pertemuan dua generasi muzik yang berbeza namun berkongsi semangat juang yang sama.

Gitaris Barbarik, Jo berkata, konsert tersebut memberi makna yang cukup besar buat pemandangan muzik rock tempatan.

“Ini bukan sekadar konsert biasa. Ia adalah pertemuan dua legasi yang sudah lama beraksi dalam liga masing-masing. Bila digabungkan, impaknya pasti berbeza dan luar biasa buat peminat,” katanya.

Tambah Jo, peminat bakal menyaksikan sisi berbeza daripada Barbarik menerusi kolaborasi eksklusif yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

Lebih istimewa, kedua-dua kumpulan juga bakal mempersembahkan single terbaharu mereka secara langsung buat pertama kalinya pada malam tersebut.

Sementara itu, penggerak utama Cromok, Karl menyifatkan konsert ini sebagai satu evolusi digital dalam industri persembahan tempatan.

Cromok bakal tampil dengan konsep No Noise Digital Stage, sekali gus menjadi kumpulan pertama di Malaysia yang memberikan persembahan secara 100 peratus digital tanpa penggunaan dram akustik mahupun amplifier gitar di atas pentas.

“Hanya satu mikrofon, peranti digital dan sistem in-ear monitors digunakan. Teknologi ini membolehkan kualiti audio yang lebih bersih dan memberikan pengalaman bunyi yang jauh lebih baik kepada penonton,” jelas Karl.

Konsert yang mendapat sokongan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures ini menawarkan tiket yang berharga antara RM175 sehingga RM998.

Pembelian boleh dibuat menerusi dua platform iaitu MyArteez (untuk CAT 1, 2, dan 6) serta Fantopia (untuk CAT 3, 4, dan 5).