Crockfords Resorts World Genting Sekali Lagi Dianugerahkan 5 Bintang Forbes
- oleh Mohd Indera
- 2 bulan lalu

Crockfords di Resorts World Genting (RWG) terus mengukuhkan reputasinya sebagai hotel mewah bertaraf dunia apabila sekali lagi dianugerahkan 5 Bintang oleh Forbes Travel Guide untuk tahun ketujuh berturut-turut.
Pencapaian ini menjadikannya satu-satunya hotel di Malaysia yang menerima pengiktirafan berprestij ini pada tahun 2025.
Forbes Travel Guide, yang diiktiraf sebagai penanda aras global bagi kecemerlangan hospitaliti, menilai hotel berdasarkan lebih 900 kriteria ketat, termasuk perkhidmatan, kemudahan, dan pengalaman keseluruhan tetamu.
Untuk meraih penarafan 5 Bintang, sesebuah hotel mesti mencapai skor minimum 90% dalam semua aspek penilaian. Kejayaan Crockfords ini membuktikan komitmennya dalam menyediakan pengalaman penginapan yang luar biasa dan bertaraf dunia.
Terletak di pergunungan sejuk Genting Highlands, Crockfords di RWG menampilkan suasana mewah yang diinspirasikan daripada kediaman elit di London.
Lobi hotel yang elegan dihiasi dengan perabot mewah, kemasan marmar eksklusif, arca pokok emas ikonik, serta koleksi seni bernilai tinggi.
Hotel ini menawarkan 177 bilik eksklusif, termasuk 3 Vila, 19 Suite Signature, 13 Suite Junior, dan 142 Bilik Superior, yang direka dengan sentuhan moden dan kemewahan bertaraf dunia.
Setiap suite dilengkapi dengan sauna peribadi, marmar Greek Calacatta, serta teknologi pintar untuk keselesaan maksimum, menjadikan pengalaman penginapan di sini benar-benar unik dan tiada tandingan.
Selain kemewahan fizikal, Crockfords terkenal dengan layanan istimewanya yang menitikberatkan perkhidmatan diperibadikan. Tetamu akan disambut dengan teh halia istimewa, yang terkenal dengan manfaat kesihatannya, terutamanya bagi warga emas.
Hotel ini juga menyediakan kemudahan mesra keluarga, termasuk permainan khas untuk kanak-kanak, memastikan pengalaman menginap yang selesa bagi semua peringkat umur.
Dengan kakitangan yang terlatih dan profesional, setiap keperluan tetamu akan dipenuhi dengan penuh ketelitian. Komitmen terhadap perkhidmatan terbaik inilah yang menjadikan Crockfords pilihan utama bagi pelancong yang mencari pengalaman hospitaliti bertaraf antarabangsa.
Selain kejayaan Crockfords, dua lagi hotel di RWG turut mengekalkan pengiktirafan mereka di peringkat antarabangsa.
Genting Grand dan Highlands Hotel masing-masing menerima pengiktirafan 4 Bintang Forbes dan Hartanah Disyorkan Forbes untuk tahun kelapan berturut-turut. Ini sekali gus membuktikan RWG sebagai destinasi hospitaliti mewah terkemuka di rantau ini.
Menurut Spencer Lee, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran & Perhubungan Awam RWG amat berbangga dengan pencapaian ini.
“Ia mencerminkan usaha berterusan kami dalam menetapkan piawaian emas dalam industri hospitaliti.” katanya.
Sementara itu, David Leung Ming Sum, Naib Presiden Operasi Hotel RWG, turut menekankan komitmen Crockfords dalam menyediakan pengalaman penginapan terbaik.
“Sebagai satu-satunya hotel 5 Bintang Forbes di Malaysia, kami akan terus menawarkan perkhidmatan yang luar biasa dan menetapkan standard baharu dalam hospitaliti mewah.” katanya.
Selain anugerah Forbes Travel Guide, RWG baru-baru ini menerima Anugerah Tarikan Pelancongan Baru Terbaik ASEAN di Anugerah Kecemerlangan ASEANTA ke-34 yang berlangsung di Johor Bahru.
Dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, RWG bersedia untuk menarik lebih ramai pelancong dari seluruh rantau ini.
Bagi mereka yang ingin menikmati pengalaman penginapan bertaraf dunia, Crockfords di RWG adalah destinasi yang wajib dikunjungi. Untuk maklumat lanjut mengenai Crockfords dan Resorts World Genting, layari laman web rasmi di rwgenting.com.