
Penyanyi dan penulis lagu antarabangsa, Craig David, bakal kembali menghiburkan peminat di Malaysia menerusi konsert Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 10 November ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Kemunculan kali ini menandakan persembahan pertama Craig David di negara ini sejak kali terakhir pada 2014, sekali gus memperkenalkan konsep persembahan TS5 kepada peminat tempatan.
Menurut kenyataan penganjur, T-REX Studio, TS5 bermula sebagai set pra-parti di kediaman penthouse Craig di Miami sebelum berkembang menjadi persembahan DJ-vokal hibrid yang unik, menggabungkan kemahiran beliau sebagai penyanyi, pengacara dan DJ secara langsung.
“Persembahan ini menawarkan gabungan lagu old skool anthems, UK garage, R&B, bashment dan house moden, yang telah menggamatkan pentas di London, Glastonbury, New York dan Ibiza,” menurut kenyataan itu.
Kuala Lumpur menjadi satu-satunya lokasi di Asia dalam siri jelajah antarabangsa beliau tahun ini, selepas kejayaan konsert jelajah arena United Kingdom 2025 dan pelancaran album terbaharunya, Commitment, yang mendapat pujian pengkritik muzik.
Sepanjang kerjayanya, Craig David telah menjual lebih 15 juta album, mencatat 5 bilion penstriman, meraih 14 pencalonan BRIT Awards dan menerima gelaran MBE atas sumbangan beliau kepada muzik.
Harga tiket bermula RM288 hingga RM944 termasuk pakej VIP, dan konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik terbesar di Malaysia pada 2025. Tiket boleh didapati di laman https://www.myticketempire.com/