Cradle Live! Persembahan Intim Rock Alternatif di Ideas Hotel KL November Ini
- oleh MDaily Editor
- 6 Oct 2025 10:04 pm
Kumpulan rock CRADLE bakal menghidupkan kembali semangat rock alternatif era 90-an menerusi Cradle Live!, sebuah persembahan intim dan eksklusif yang akan diadakan pada 14 November 2025 di Poolside Bistro, tingkat tiga, Ideas Hotel Kuala Lumpur.
Showcase yang dianjurkan oleh Rasa Karya ini menampilkan konsep santai namun penuh tenaga, dengan kehadiran istimewa Datuk Ramli Sarip.
Persembahan ini dijangka menjadi malam penuh nostalgia, menyatukan dua generasi pemuzik yang memperjuangkan semangat rock nusantara iaitu Ramli Sarip sebagai ikon “Papa Rock” tanah air dan CRADLE, pelopor rock alternatif dari Singapura.

Acara bermula dengan makan malam bufet pada jam 8 malam, diikuti persembahan utama CRADLE pada jam 9.30 malam.
Menariknya, CRADLE merupakan kumpulan berasal dari Singapura yang berjaya menembusi pasaran muzik Malaysia pada era 1990-an dengan aliran grunge dan rock alternatif yang segar serta identiti muzik tersendiri.
Dibarisi oleh Addy (gitar/vokal), Eiz (vokal), Zul (bass) dan ADH (dram), kumpulan ini dikenali kerana keupayaan mereka menyatukan pengaruh muzik barat dengan jiwa nusantara.
Selain kejayaan awal mereka, CRADLE turut mencipta sejarah apabila melancarkan album Ceritera Awan pada September 2007, yang memperkukuh kedudukan mereka dalam dunia muzik serantau.
Lagu “AYU” daripada album itu berjaya meraih Anugerah Lagu Terbaik (Best Song of The Year) di Anugerah Planet Muzik 2008, manakala Ceritera Awan turut dinobatkan sebagai Album Terbaik Tahun 2008 (Best Album of The Year) pada anugerah yang sama, suatu pencapaian luar biasa bagi kumpulan asal Singapura itu.
Lebih istimewa, Addy Cradle, pemain gitaris kumpulan tersebut, bukanlah nama asing di kalangan penggiat muzik tempatan.

Beliau sering menjadi pemuzik jemputan untuk artis popular tanah air seperti Awie, Ella dan ramai lagi, menjadikannya antara gitaris yang paling disegani di kedua-dua negara Malaysia dan Singapura.
Menurut penganjur, Cradle Live! menonjolkan sisi lebih peribadi dan eksklusif daripada kumpulan tersebut, memberi peluang kepada peminat untuk menikmati persembahan dalam suasana lebih dekat dan mesra, berbeza daripada konsert berskala besar yang biasa diadakan.
“Ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu penghargaan terhadap perjalanan panjang CRADLE dalam dunia muzik serta pengaruh besar mereka terhadap perkembangan rock alternatif di rantau ini,” ujar wakil Rasa Karya.
Dengan gabungan aura legenda Datuk Ramli Sarip, yang dikenali dengan karya berjiwa dan karisma luar biasa, bersama tenaga anak seni berpengalaman seperti Addy Cradle, showcase ini dijangka menjadi antara acara muzik paling dinantikan penghujung tahun ini.
Tiket dijual pada harga RM250 (Front Row) dan RM160 (Bistro dan Smoking Zone) melalui www.iLassoTickets.com/cradlelive atau hubungi talian +60 11-1329 7822.




