Ikuti Kami:

Cradle Live! Pentas Kebangkitan Cradle, Lancar Album Hela Nafasku

Cradle Live! Pentas Kebangkitan Cradle, Lancar Album Hela Nafasku

Selepas hampir dua dekad menyepi daripada radar muzik tanah air, kumpulan rock Cradle kembali menghangatkan pentas dengan nafas baharu menerusi showcase istimewa “Cradle Live!” dan pelancaran album terbaharu mereka berjudul Hela Nafasku.

Showcase tersebut bakal berlangsung pada 14 November ini di Poolside Bistro, Ideas Hotel Kuala Lumpur, dianjurkan oleh Rasa Karya, dengan menampilkan Datuk Ramli Sarip sebagai tetamu istimewa.

Diterajui oleh pengasasnya, Addy Rasidi selaku pemain gitar utama, Cradle kini dianggotai oleh Eiz Mohd (vokalis), Zul Wahab (pemain bass), dan Adha Lizam (pemain dram).

Pengasas merangkap pemain gitar, Addy Rasidi mengakui usaha menghidupkan semula Cradle bukanlah perkara yang mudah, namun semangat serta kecintaannya terhadap muzik menjadi kekuatan utama yang mendorong beliau untuk terus melangkah.

“Kami sebenarnya sudah merancang sejak tahun 2016 lagi. Namun ketika itu, Eiz masih terikat dengan komitmen bersama kumpulan lain. Beberapa tahun selepas itu, apabila saya hubunginya semula, dia terus bersetuju. Dari situ kami mula menulis lagu dan menjalani sesi jamming bersama.”

“Pada peringkat awal, rakaman dibuat tanpa sokongan mana-mana label, semuanya digerakkan atas semangat dan keyakinan terhadap muzik Cradle,” katanya ketika ditemui di Sine Tone Studio, Kuala Lumpur.

Album Hela Nafasku diterbitkan di bawah label Rasa Karya, milik Datuk Ramli Sarip, sesuatu yang menurut Addy berlaku secara tidak dirancang.

“Sebenarnya, saya tak rancang untuk diterbitkan oleh Rasa Karya sebab saya pernah bekerja dengan Datuk Ramli, takut nampak tak profesional. Tapi secara kebetulan, beliau sendiri buka ruang dan berikan sokongan. Itu satu rezeki buat kami,” jelas Addy.

Tambah Addy, Hela Nafasku merupakan hasil karya sepenuhnya daripada anggota Cradle, menampilkan kematangan bunyi dan gabungan idea setiap ahli.

“Kalau dulu saya banyak buat sendiri, tapi kali ini semua terlibat. Kita kongsi idea, cipta lagu bersama, dan hasilnya inilah sound Cradle sebenar,” ujarnya.

Mengulas lanjut, vokalis utama, Eiz Mohd, berkata persiapan menjelang showcase kini hampir siap dan mengakui rasa berdebar menantikan hari persembahan.

“Persiapan kini hampir siap sepenuhnya, kira-kira 80 peratus. Kami sedang memperhalusi persembahan dan memastikan setiap susunan tampil terbaik untuk peminat. Memang ada rasa berdebar, apatah lagi dengan kehadiran Datuk Ramli Sarip sebagai tetamu istimewa.

“Namun, kami akan berikan yang terbaik kerana inilah peluang untuk mengetengahkan karya baharu kami kepada peminat,” katanya.

Dalam pada itu, Eiz turut menyatakan hasrat Cradle untuk meluaskan langkah ke peringkat serantau.

“Harapan kami agar Cradle bukan sahaja dikenali di Malaysia, tetapi juga dapat menembusi pasaran Indonesia, Singapura dan Brunei. Kami tidak akan berhenti berkarya.” katanya.

Sebagai gitaris yang sering menjadi pemain ‘session’ untuk pelbagai artis tanah air, Addy mengakui kini memberi keutamaan kepada Cradle sebagai fokus utamanya.

“Saya masih buat kerja ‘session’ kalau ada masa, tapi sekarang keutamaan saya ialah Cradle. Ini band saya, ini jiwa saya. Bila dah mula semula, saya nak bagi sepenuh fokus untuk Cradle,” tegasnya.

Selain showcase di Kuala Lumpur, Cradle turut merancang siri jelajah kecil ke seluruh negara sebagai langkah memperkenalkan semula band mereka kepada peminat.

“Kami rancang untuk buat mini tour ke kafe dan bandar-bandar kecil seperti Ipoh dan Terengganu. Tujuannya nak dekat dengan peminat dan dengar terus maklum balas mereka,” kata Addy.

Album Hela Nafasku menampilkan 10 lagu baru dan kini tersedia untuk distrim di semua platform digital utama, album ini menandakan kebangkitan semula Cradle yang terus bernafas dan penuh semangat selepas lama menyepi.

Tiket showcase Cradle Live! masih boleh didapati pada harga RM250 (VIP) dan RM160 (termasuk bufet makan malam) melalui laman web www.iLassoTickets.com/cradlelive atau dengan menghubungi +6011-13297822.

Komen
Loading...