Cradle Kembali ‘Bernafas’ Dengan Album Terbaharu Hela Nafasku
- oleh MDaily Editor
- 15 Nov 2025 2:07 pm
Kumpulan rock Cradle kembali menghangatkan pentas muzik tanah air dengan pelancaran album baharu berjudul Hela Nafasku, sekali gus menandakan kebangkitan semula mereka selepas sekian lama menyepi.
Cradle, yang diterajui pengasasnya Addy Rasidi sebagai pemain gitar utama, kini dianggotai Eiz Mohd (vokalis), Zul Wahab (pemain bass) dan Adha Lizam (pemain dram).
Pelancaran album itu turut diraikan menerusi Showcase Cradle Live! yang berlangsung di Poolside Bistro, Ideas Hotel Kuala Lumpur, anjuran Rasa Karya, dengan kehadiran istimewa Datuk Ramli Sarip.
Vokalis Cradle, Eiz, berkata pelancaran album pertama mereka selepas sekian lama memberikan pengalaman penuh emosi kerana sambutan luar biasa daripada peminat.

“Saya gembira, berdebar, semua ada. Susah nak jelaskan perasaan itu sebab bercampur. Dalam Cradle, karakter saya berbeza daripada band sebelum ini kerana genre dan konsepnya lain. Kami sendiri tak sangka sambutan untuk showcase begitu menggalakkan. Bila mula posting di media sosial, ramai kawan telefon tanya pasal tiket nak datang support,” katanya.
Addy, selaku pengasas dan pemain gitar utama, menjelaskan perasaan kembali menghasilkan karya sendiri berbeza dengan pengalaman sebagai pemuzik sesi.

“Session tu kerja untuk orang, tapi Cradle ni lain. Ini muzik kami. Memang seronok dan gembira, tapi tetap ada nervous sebab kami nak beri yang terbaik. Perasaan campur-aduk.
“Kami juga rancang buat mini tour ke kafe dan bandar kecil seperti Ipoh dan Terengganu untuk promosi album,” katanya.
Sementara itu, Datuk Ramli Sarip berkata keputusan mengambil Cradle di bawah naungan Rasa Karya dibuat selepas melihat bakat, disiplin dan kesungguhan kumpulan itu yang dianggap mempunyai potensi besar.

“Saya tengok kebolehan mereka, disiplin bagus, permainan mantap walaupun sederhana. Mereka perlukan ruang, dan saya rasa mereka ada potensi. Akhlak dan semangat kerja mereka sesuai dengan apa yang saya cari,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Cradle diberi kebebasan penuh untuk menentukan konsep album berkenaan.
“Saya tak jadi penerbit sebab saya nak mereka berdikari. Itu lebih penting. Saya dengar material terbaru mereka secara santai, sederhana, sedap dan mantap.
“Keberanian mereka buat album dalam bentuk CD juga saya puji. Bukan senang nak buat sekarang, tapi mereka yakin. Turun naik itu biasa, yang penting teruskan,” katanya.

Kembalinya Cradle menerusi Hela Nafasku menjadi simbol nafas baharu dalam perjalanan muzik mereka, menyatukan semangat lama dan tenaga baharu demi peminat yang terus setia menantikan kebangkitan kumpulan itu.
Album Hela Nafasku memuatkan 10 lagu baharu dan kini boleh distrim di semua platform digital utama.




