Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbangkan dasar mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 meskipun tiada vaksin ditemui setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham.
Bagaimanapun, beliau berkata KKM perlu melihat kepada kesan sampingan dan keberkesanan vaksin itu sebelum mewajibkan pengambilannya.
“Besar kemungkinan kita akan adakan dasar untuk mewajibkan penggunaan vaksin itu. Kita perlu lihat kesan samping dan keberkesanan sebelum keluarkan satu dasar.
“Memang kajian ada, tetapi belum ada lagi vaksin untuk COVID-19. Tetapi apa yang penting kalau kita ada vaksin, kita juga nak melihat kepada keberkesanan dan kesan samping sebelum keluarkan sesuatu dasar,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 hari ini.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata KKM sedang berbincang dan menjalankan penyelidikan terhadap daya imuniti tubuh badan yang melawan virus COVID-19.
Jelasnya, KKM mengesan ada dalam kalangan pesakit yang tidak bergejala telah mempunyai antibodi.
“Bila adanya antibodi, ini menunjukan pesakit pernah terdedah tetapi tidak bergejala dan tidak tahu mereka pernah dijangkiti.. tapi apabila test (diuji) virus, virus tiada.
Mengenai firma bioteknologi Amerika Syarikat (AS), Moderna akan mula percubaan fasa ketiga vaksin COVID-19 bulan depan, Dr Noor Hisham berkata ia satu perkembangan yang baik, malah banyak negara termasuk China menjalankan penyelidikan dan kajian, namun ia akan mengambil tempoh setahun atau setahun setengah sebelum ia dipasarkan.
Beliau berkata berdasarkan pengalaman lepas dalam menangani sindrom pernafasan akut teruk (SARS) dan Middle East coronavirus (MERS-CoV), walaupun tiada vaksin, namun ia dapat dikawal menerusi inisiatif kesihatan awam.