COVID-19: Thailand Ucap Tahniah Pada Malaysia Berjaya Tangani Dengan Baik
- oleh Mohd Indera
- 4 tahuns lalu
Thailand mengucapkan Tahniah kepada kerajaan Malaysia berhubung pendekatan yang diambil bagi menangani pandemik COVID-19.
Mesej itu disampaikan oleh Perdana Menteri Thai Jen. Prayuth Chan o-cha kepada rakan sejawatannya Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui panggilan telefon.
Dalam perbualan itu, Prayuth mengucapkan tahniah dan memuji Muhyiddin atas pengurusan yang baik dalam menangani pandemik COVID-19 di Malaysia yang merekodkan jumlah kumulatif jangkitan sebanyak 8,338 kes dengan 118 kematian.
“Prayuth berkata pendekatan Malaysia menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memainkan peranan penting dalam mengurangkan jangkitan di negara itu,” katanya.
Jurucakap kerajaan Narumon Pinyosinwat berkata itu adalah kali pertama Prayuth menghubungi rakan sejawatannya tersebut selepas Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8 Malaysia.
Prayuth membuat panggilan telefon itu pada 3.30 petang tadi (waktu tempatan), kata Narumon dalam kenyataan semalam.
Prayuth juga berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana mempermudah kepulangan warga Thai yang bekerja di Malaysia serta memberi jaminan akan membantu dalam penghantaran pulang rakyat Malaysia yang berada di negara Gajah Putih tersebut menerusi semua saluran.
“Thailand akan meneruskan kerjasama yang sudah terjalin dalam semua dimensi, khususnya dalam menangani pandemik COVID-19 di sepanjang sempadan negara serta membantu kepulangan tenaga kerja,” kata Narumon.
Dalam perbualan telefon itu Prayuth turut mengundang Muhyiddin melawat Thailand pada masa yang bersesuaian bagi meningkatkan lagi kerjasama dua hala di antara kedua-dua negara.