Ikuti Kami:

Op COVID-19 SHIELD : 2 Tan Daun Ketum Dirampas

Op COVID-19 SHIELD : 2 Tan Daun Ketum Dirampas

PADANG BESAR, 5 Mei – Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas lebih dua tan daun ketum bernilai RM68,250 dipercayai untuk diseludup ke negara jiran dalam empat siri operasi berasingan Op COVID-19 SHIELD yang bermula pada 2 Mei.

Komander Briged Utara PGA SAC Abdul Ghani Mohamad Ji berkata dalam rampasan pertama pada kira-kira 7.15 malam Sabtu lepas di kawasan berhampiran parkir kereta berdekatan tiang CCTV 13 KTM Padang Besar dekat sini, anggota PGA menemui empat guni disyaki berisi daun ketum seberat 140 kilogram bernilai RM4,200.

“Hasil tinjauan mendapati beberapa orang lelaki tidak dketahui warganegara sedang memunggah barang dalam keadaan mencurigakan di tempat letak kereta itu. Setelah menyedari kehadiran anggota PGA, kesemua lelaki berkenaan bertindak melarikan diri,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Rampasan kedua yang berlaku Ahad lepas pada kira-kira 9.45 malam membawa kepada penemuan 43 guni putih berisi daun ketum seberat 1.2 tan bernilai RM38,700 di sebuah rumah di Kampung Kolam dekat sini.

Abdul Ghani berkata hasil pemantauan selama 30 minit, tiada individu yang tampil mengambil daun ketum itu dan pihaknya bertindak memasuki rumah tersebut dan menjumpai bungkusan plastik lut sinar berisi daun hijau disyaki daun ketum yang dibalut serta disimpan di dalam guni untuk di seludup ke negara jiran (Thailand).

Beliau berkata pihaknya turut menemui empat lagi guni putih mengandungi 330 botol dipercayai berisi ubat batuk bernilai RM2,970.

Rampasan ketiga di sebuah pondok di belakang sebuah rumah di Felda Mata Ayer dekat sini semalam pada kira-kira 12.30 tengah malam membawa kepada penemuan enam guni putih berisi plastik lut sinar disyaki mengandungi daun ketum seberat 180 kg bernilai RM5,400.

Rampasan terakhir di kawasan Kebun Karim dekat sini pada kira-kira 8.50 pagi semalam membawa kepada penemuan 19 guni putih disyaki berisi daun ketum seberat 665 kg bernilai RM19,950 dan sebuah beg galas berisi dua unit telefon bimbit serta beberapa barangan lain.

Abdul Ghani berkata ketika membuat rondaan, anggota PGA terserempak dengan beberapa lelaki yang tidak diketahui warganegara sedang memikul guni putih di kawasan berkenaan.

Katanya menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak melarikan diri dan meninggalkan barangan terbabit di kawasan semak berhampiran.

Menurut Abdul Ghani, kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada Balai Polis Padang Besar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

— BERNAMA

Komen
Loading...