IKLAN

COVID-19: Saringan Bersasar Akan Dilakukan Bagi Kesan Pesakit Tidak Bergejala

Saringan bersasar akan dilakukan dengan meluas bagi pengesanan kes tidak bergejala di kawasan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan separa PKPD.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata data Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati sebanyak 6,092 daripada keseluruhan 8,674 kes positif setakat ini, adalah kes tidak bergejala manakala 2,282 kes lagi mempunyai gejala.

Beliau berkata, ketika pelaksanaan PKPD dan separa PKPD, KKM menjalankan saringan terhadap semua orang, membolehkan pesakit tanpa gejala dapat dikesan.

"Kes tidak bergejala adalah sebanyak 70.25 peratus manakala kes bergejala ada 29.75 peratus.

"Ketika PKPD atau separa PKPD dijalankan, kita membuat saringan terhadap semua pihak serta saringan bersasar termasuk rumah orang tua dan sekolah tahfiz walaupun mereka tidak bergejala.

IKLAN

"Apa yang penting ialah kita mengesan mereka awal susulan pendekatan bersasar ini," katanya pada sidang media COVID-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya akan terus meningkatkan saringan dan pemantauan COVID-19 termasuk membabitkan pesakit yang menghidap penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) selain saringan pra-pembedahan.

Selain itu, beliau berkata, pengesanan suhu yang dijalankan termasuk di tempat awam ketika ini mampu mengesan simptom positif jangkitan terutama terhadap mereka yang tidak bergejala.

Sumber : Berita Harian

Jom like Facebook & follow Twitter mDaily bagi mendapatkan berita hangat dan terkini di seluruh dunia.

IKLAN