Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekali lagi menegaskan bahawa penggunaan Disinfection Box, Chamber/Tunnel/Booth/Partition/Gate untuk mengurangkan jangkitan COVID-19 adalah tidak disarankan.
KKM dalam hantaran di laman Facebook (FB) berkata hasil penilaian yang dilakukan tiada bukti menunjukkan bahawa peralatan ini berjaya atau berkesan mengurangkan jangkitan COVID-19.
“Penilaian peralatan dari beberapa model-model sedia ada di Malaysia telah dilakukan”
“20-30 saat adalah tidak memadai untuk nyahkuman yang berkesan. Ia juga tidak membunuh kuman dalam badan manusia dan bahan kimia yang digunakan memudaratkan kepada selaput badan seperti mata dan mulut.” katanya.
Pada sidang medianya petang Jumaat, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan supaya tidak menggunakan alat itu dan menyatakan beberapa kemungkinan kesan berbahaya.
“Tidak ada bukti klinikal yang menunjukkan bahawa ia sebenarnya bermanfaat atau (dapat) bahkan untuk melindungi orang tersebut. Kami bimbang bahawa menggunakan terowong ini tidak akan membasmi kuman seseorang kerana virus itu ada di dalam badan, bukan pada permukaan
“Kami khuatir tentang bahan kimia yang digunakan untuk disemburkan kepada individu ia boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit dan mata, ia juga boleh mencetuskan serangan asma,” katanya.
Berdasarkan penilaian ini, KKM tidak menyarankan penggunaan peralatan ini untuk langkah pencegahan jangkitan COVID-19 sebaliknya mengekalkan penjarakan sosial dan patuhi SOP yang ditetapkan oleh KKM.
Kos untuk membeli disinfectant box ini sebaiknya diguna untuk mengadakan langkah pencegahan yang lebih berkesan seperti memperbanyakkan tempat mencuci tangan bagi pengusaha restoran atau medan selera atau menyediakan lebih banyak cecair pembasmi kuman (sanitizer) untuk kemudahan pelanggan.
Penjelasan semula ini dibuat susulan ada peniaga yang merancang untuk menyediakan disinfection box kepada pelanggan mereka, seperti yang dilaporkan media.