Ikuti Kami:

COVID-19 : Melbourne Mewajibkan Penduduknya Memakai Pelitup Muka

COVID-19 : Melbourne Mewajibkan Penduduknya Memakai Pelitup Muka

Melbourne, Bandar raya kedua terbesar Australia hari ini mengumumkan akan mewajibkan penduduknya memakai pelitup muka di khalayak ramai, dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19.

Pihak berkuasa berkata, Melbourne yang terletak di Victoria, kini mencatatkan hampir 3,000 kes aktif COVID-19 selepas 363 jangkitan lagi dilaporkan hari ini walaupun berada di bawah perintah berkurung sejak 10 hari lalu.

Perdana Menteri, Daniel Andrews, berkata lebih lima juta penduduk Melbourne dan bandar berhampiran, Mitchell Shire, akan diwajibkan memakai pelitup muka atau perlindungan muka lain apabila berada di tempat awam bermula tengah malam Rabu hingga Khamis ini.

“Kebanyakan daripada kita tidak akan meninggalkan rumah tanpa mengambil kunci atau tanpa telefon bimbit.

“Kini anda juga tidak boleh meninggalkan rumah tanpa pelitup muka, yang menjadi keperluan wajib bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya pada satu sidang media.

Kegagalan mematuhi peraturan baharu itu boleh didenda sehingga AS$140 (RM597), namun kata Andrews, pihak berkuasa akan menggunakan budi bicara dalam kes tertentu, umpamanya pengecualian ketika bersenam atau mengunjungi bank.

Tambah beliau, bandana dan selendang juga diterima sebagai penutup muka sehingga negara dapat meningkatkan pembekalan pelitup muka.

Keputusan itu bermakna Melbourne menjadi bandar pertama di Australia yang mewajibkan penggunaan pelitup muka.

Pemakaian pelitup muka bukan amalan biasa di Australia selama ini dan tidak pernah menjadi sebahagian daripada langkah pencegahan COVID-19 negara itu.

Negeri dan wilayah lain di Australia sudah menutup sempadan mereka bagi menghalang kemasukan penduduk Victoria, dalam usaha menyekat penyebaran virus itu.

Ini kerana kebanyakan wilayah dan negeri terbabit sudah beberapa minggu tidak melaporkan sebarang jangkitan tempatan baharu COVID-19.

Bagaimanapun, penularan sudah merebak ke Sydney di mana jangkitan tempatan meningkat sejak beberapa hari kebelakangan selepas sekelompok penduduk Melbourne yang dijangkiti mengunjungi sebuah pub terkenal.

Australia yang mempunyai 25 juta penduduk, setakat hari ini melaporkan 11,441 kes jangkitan termasuk 118 kematian akibat COVID-19. – AFP

Foto : Agensi.

Komen
Loading...