IKLAN

COVID-19: Kes Aktif Kurang Daripada 100

Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini kini mencatat jumlah kurang daripada 100 dengan peratus kes pulih sepenuhnya mencecah 97.6 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes aktif hari ini ialah 85 kes manakala 62 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih ialah 8,437 kes.

“Tiga kes baharu direkodkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak 8,643 kes. Daripada tiga kes baharu itu, satu kes adalah kes import melibatkan warga Malaysia, manakala dua lagi adalah kes penularan dalam negara membabitkan bukan warganegara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Memperincikan dua kes penularan dalam negara itu, beliau berkata satu kes adalah daripada kluster Bukit Bintang di sini, yang dikesan melalui hasil saringan ulangan dalam tempoh mereka di pusat kuarantin, manakala satu lagi kes baharu melalui saringan masuk ke lokap di Kota Kinabalu, Sabah.

IKLAN

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes positif bagi kluster Bukit Bintang sehingga kini ialah 11 kes melibatkan 10 warga Bangladesh dan satu rakyat tempatan.

"Setakat ini, 304 orang telah disaring terdiri daripada 204 orang bukan warganegara dan 100 rakyat Malaysia dan daripada jumlah itu, 293 orang negatif COVID-19. Punca jangkitan kluster itu masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kekal 121 kes atau 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Terdapat dua kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kedua-duanya memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

IKLAN

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, 620 daripada 5,804 individu di bawah arahan pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) masih perlu menjalani ujian COVID-19 untuk hari ke-13.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berkenaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) giat menjalankan aktiviti pengesanan individu yang perlu menjalani saringan hari ke-13.

"Kementerian Kesihatan (KKM) ingin mengingatkan bahawa tindakan boleh diambil ke atas individu yang didapati melanggar syarat di bawah perintah ini. Mereka boleh dikenakan denda atau dipenjarakan atau kedua-duanya," katanya.

Justeru, beliau menyeru pengembara yang pulang ke Malaysia supaya terus memberi kerjasama kepada pihak Kementerian Kesihatan dan patuh kepada syarat di bawah perintah itu.

Sumber : Bernama.

Jom like Facebook & follow Twitter mDaily bagi mendapatkan berita hangat dan terkini di seluruh dunia.

IKLAN