Penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia telah memberi impak besar kepada industri pelancongan dan perhotelan. Oleh kerana kebanyakkan negara menjalani perintah berkurung dan kawalan pergerakan bagi mengekangnya, aktiviti pelancongan kini seakan ‘lumpuh’.
Terkini di Malaysia, hotel dengan status lima bintang sudah mulai dijual dengan harga RM350 juta sehingga RM1.7 bilion. Sebelum ini, dilaporkan pertambahan servis sewaan bilik dan tempat tinggal seperti Airbnb telah memberi kesan yang sama kepada industri perhotelan.
Setakat ini, dilaporkan lebih daripada 20 buah hotel sudah ditutup akibat tidak dapat menanggung kos operasi yang tinggi setiap bulan.
Langkah kerajaan menggunakan hotel sebagai antara pusat kuarantin bagi rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara, dilihat membantu kelangsungan perniagaan perhotelan yang kini terjejas berikutan penularan wabak COVID-19.
Johor merekodkan sebanyak 15,808 pembatalan tempahan bilik hotel membabitkan kerugian RM5.4 juta berikutan penularan COVID-19, setakat 17 Februari lalu.
Industri pelancongan Malaysia dilaporkan rugi sekitar RM6 bilion hingga kini disebabkan terlalu banyak pembatalan tempahan hotel dan penerbangan.
Berikutan COVID-19 masih teruk menular di seluruh dunia, dijangka aktiviti pelancongan akan terus merudum dan kebarangkalian untuk mula aktif seperti biasa akan mengambil masa yang lebih lama lagi.