Ikuti Kami:

COVID-19 Beijing Batal Penerbangan, Tutup Semula Sekolah

COVID-19 Beijing Batal Penerbangan, Tutup Semula Sekolah

Dua pertiga penerbangan dibatalkan di Beijing termasuk arahan menutup semula sekolah di ibu kota China pada hari ini selepas pihak berkuasa bergegas mengekang penularan baharu COVID-19 yang ada kaitan dengan pasar borong makanan.

Bandar itu dilaporkan merekodkan sebanyak 31 kes baharu hari ini, menyaksikan pegawai menggesa penduduk supaya tidak meninggalkan Beijing dengan peningkatan kebimbangan terhadap gelombang kedua jangkitan di China.

Puluhan ribu orang yang mempunyai kaitan dengan dengan kluster baharu di Beijing, yang dipercayai berpunca dari pasar borong makanan di bandar Xinfadi, diuji dengan hampir 30 komuniti kini di bawah perintah berkurung.

Sekurang-kurangnya 1,255 penerbangan yang dijadualkan terpaksa dibatalkan pagi ini, membabitkan 70 peratus daripada semua perjalanan ke dan dari lapangan terbang utama Beijing.

Berdasarkan pangkalan data pengesanan penerbangan China, VariFlight, kira-kira dua pertiga penerbangan masuk dan lebih separuh penerbangan keluar di Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Kota Beijing dibatalkan hari ini.

Sementara itu, tiga perempat penerbangan keluar dan lebih dua pertiga penerbangan masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing turut dibatalkan.

Sementara itu, beberapa wilayah mengkuarantinkan perantau dari Beijing di mana semua sekolah yang kebanyakannya dibuka sebelum ini terpaksa diperintahkan untuk ditutup semula dan kembali menjalani kelas secara dalam talian.

“Situasi epidemik di ibukota sangat teruk,” kata jurucakap bandar Beijing, Xu Hejian memberi amaran.

Sehubungan itu, 11 pasar ditutup dan proses nyah cemar dilakukan di ribuan premis perniagaan makanan dan minuman di Beijing selepas wabak itu dikesan.

Ketika ini, bandar itu dilapor merekodkan sebanyak 137 jangkitan sejak enam hari terakhir dengan enam kes baharu tanpa gejala dan tiga kes dalam siasatan, demikian menurut Suruhanjaya Kesihatan Majlis Perbandaran.

Setakat 30 Mei lalu, lebih 200,000 orang berkunjung ke pasar Xinfadi yang membekalkan lebih 70 peratus keperluan buah dan sayur Beijing.

Foto : Agensi.

Komen
Loading...