IKLAN

COVID-19: 31 Kes Positif Dilaporkan Hanya Satu Dari Warganegara

Sebanyak 31 kes jangkitan baharu wabak COVID-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, pertambahan jangkitan baharu itu menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia ialah sebanyak 8,369 dengan jumlah kebolehjangkitan 1,186 kes.

"Daripada 31 kes baharu yang dilaporkan, 11 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Baki 20 kes adalah penularan di dalam negara, iaitu 19 membabitkan bukan warganegara dan hanya satu ialah warganegara Malaysia, iaitu kes di Selangor bagi saringan pusat tahfiz.

IKLAN

"Perincian 19 kes dalam kalangan bukan warganegara ialah 16 daripada Kluster Pedas di Negeri Sembilan dan masing-masing satu daripada Kluster Kampung Sungai Lui, Selangor; Kluster Syarikat Pembersihan Kuala Lumpur dan saringan pekerja di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan, tiada pertambahan kematian akibat COVID-19, hari ini, dan jumlahnya kekal sebanyak 118 korban atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes jangkitan.

Seramai 51 pesakit wabak COVID-19 dilaporkan pulih sepenuhnya, hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kini mencecah 7,065 atau 84.4 peratus daripada angka keseluruhan kes.

Jom like Facebook & follow Twitter mDaily bagi mendapatkan berita hangat dan terkini di seluruh dunia.

IKLAN