IKLAN

COVID-19: 10 Kes Baharu, 15 Sembuh Hari Ini

Selepas enam hari kes positif baharu COVID-19 mencatatkan satu angka, hari ini sebanyak 10 kes baharu dicatatkan setakat jam 12 tengah hari tadi, dengan tujuh daripadanya membabitkan kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tiga lagi kes positif baharu ialah penularan dalam negara membabitkan seorang warga asing dan dua rakyat tempatan.

Beliau berkata, ada 15 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan dibenarkan keluar dari wad sebanyak 8,461 kes atau 97.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Sehingga jam 12 tengah hari, 4 Julai 2020 terdapat 10 kes baharu yang dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 8,658 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ialah 76 kes. Mereka diasingkan dan diberi rawatan.

"Daripada 10 kes baharu yang dilaporkan, tujuh kes ialah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan semua warganegara Malaysia.

IKLAN

"Daripada tiga kes penularan di dalam negara, satu kes bukan warganegara iaitu kes saringan Orang Kena Tahan di Seremban, Negeri Sembilan sebelum dipindahkan ke penjara. Dua kes lagi dalam kalangan warganegara Malaysia," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, satu kes yang dicatatkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membabitkan saringan prapembedahan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.

Beliau berkata, satu lagi kes membabitkan saringan petugas kesihatan yang tamat bertugas di pusat kuarantin di Likas, Sabah.

Katanya, setakat ini, terdapat dua kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi dan memerlukan bantuan pernafasan.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini.

Sumber : Berita Harian.

Jom like Facebook & follow Twitter mDaily bagi mendapatkan berita hangat dan terkini di seluruh dunia.

IKLAN