Coolie: Rajinikanth Kembali Menggegarkan Pawagam Malaysia
- oleh Mohd Indera
- 15 Aug 2025 8:58 pm

Filem aksi thriller Tamil, Coolie, yang dibintangi Superstar Padma Bhushan Rajinikanth, mula menemui penonton di seluruh negara bermula 14 Ogos ini, sekali gus meraikan 50 tahun penglibatan aktor legenda itu dalam industri perfileman.
Filem arahan Lokesh Kanagaraj dan terbitan Kalanithi Maran itu menampilkan barisan pelakon ternama termasuk Aamir Khan, Pooja Hegde, Nagarjuna Akkineni, Soubin Shahir, Shruti Haasan, Upendra, Reba Monica John, Kishore Kumar G. dan Sathyaraj.
Berdurasi 169 minit, ia ditayangkan dalam bahasa Tamil dengan sari kata Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, serta diklasifikasikan sebagai tontonan 18.
Mengisahkan seorang coolie biasa yang bangkit melawan kerakusan dan korupsi demi membela golongan marhaen, filem ini dipenuhi adegan aksi mendebarkan, dialog berpengaruh dan lakonan penuh karisma Rajinikanth.
Gabungan jalan cerita, lagak ngeri memukau dan sentuhan pengarahan bertenaga menjadikan Coolie sebagai naskhah aksi berskala besar yang mendapat sambutan luar biasa.
Menurut Malik Streams Corporation Sdn. Bhd., selaku pengedar rasmi di Malaysia, Coolie telaha mencatat kutipan tayangan hari pertama tertinggi di dunia bagi filem Tamil, sekali gus membuktikan pengaruh Rajinikanth di pentas global.
Pengasas Malik Streams, Dato’ Malik, berkata pihaknya berbangga membawa filem ini ke pawagam tempatan.
“Di Malaysia, Malik Streams Corporation telah memperoleh hak pengedaran filem Coolie dan kini bersiap sedia untuk tayangan besar-besaran. Tempahan kini dibuka, dan jualan awal sudah melepasi 140,000 tiket, dengan keterujaan yang terus memuncak.” katanya.
Penonton boleh menyaksikan Coolie di semua pawagam utama seluruh negara mulai 14 Ogos ini.