COBRA 10s 2025: Kejohanan Ragbi Untuk Semua Peringkat Umur dan Jantina
- oleh MDaily Editor
- 22 Oct 2025 8:49 pm
COBRA Rugby Club sekali lagi membuktikan peranannya sebagai pelopor sukan ragbi negara dengan penganjuran COBRA Rugby 10s 2025, edisi ke-52 kejohanan berprestij yang bakal berlangsung pada 1 dan 2 November ini di Padang Astaka, Petaling Jaya.
Dikenali di seluruh dunia sebagai “Home of the Tens”, kejohanan tahun ini tampil dengan semangat baharu apabila buat julung kali memperkenalkan kategori wanita dan kategori veteran, menjadikan COBRA 10s bukan sekadar pertandingan tetapi festival ragbi untuk semua lapisan usia dan jantina.
Presiden Kelab Ragbi COBRA, Darryll Sinnappa, berkata langkah itu mencerminkan komitmen penganjur terhadap keterangkuman dan penyertaan menyeluruh dalam sukan ragbi, termasuk dalam kalangan wanita serta pemain berpengalaman.
“Kami melihat peningkatan minat dalam kalangan wanita dan golongan pemain lama yang masih aktif. Jadi, kami mahu menjadikan C10s bukan sekadar kejohanan tetapi festival ragbi untuk semua peringkat umur dan jantina,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau menjelaskan, kategori veteran dibuka kepada pemain berusia 40 tahun ke atas sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah lama menyumbang kepada pembangunan ragbi, manakala kategori wanita diwujudkan bagi meningkatkan penyertaan serta mutu permainan dalam kalangan pemain wanita tempatan.
“Kami mahu kejohanan ini menjadi platform yang menyatukan semua lapisan komuniti ragbi, dari pemain muda hingga veteran, lelaki mahupun wanita, di bawah satu semangat kesukanan dan kekeluargaan,” tambahnya.

Untuk kategori lelaki, kejohanan kali ini menampilkan 12 pasukan tempatan dan antarabangsa, termasuk NTK Rugby (Afrika Selatan), Koko Samoa (Samoa), Pakuranga Rugby Club dan Hautapu SSC (New Zealand), POM Harlequins (Papua New Guinea) serta Penguin Rugby (United Kingdom).
Malaysia pula diwakili oleh COBRA Rugby Club, KL Tigers, SSTMI Tsunami, MPSJ Knights, Royal Town Warriors dan KRAS Rugby. Setiap pasukan akan beraksi dalam lima perlawanan peringkat kumpulan sebelum mara ke peringkat kalah mati yang terbahagi kepada tiga kategori utama: Piala (Cup), Pinggan (Plate) dan Mangkok (Bowl).
Kategori wanita pula menampilkan lima pasukan tempatan, termasuk satu pasukan dari Sabah, dengan format liga round-robin sebelum ke separuh akhir.
Sementara itu, kategori veteran turut disertai lima pasukan dalam format satu hari, di mana dua pasukan teratas akan bertemu di pentas akhir bagi merebut kejuaraan Veterans Cup yang julung kali diperkenalkan.




