Coastal Combat 2026 Bawa Revolusi Sukan Tempur: Gabungan Aksi Muay Thai Elit dan Program Realiti Eksklusif di Desaru Coast
- oleh MDaily Editor
- 10 Dec 2025 1:53 pm
Petarung-petarung wanita Muay Thai dan wakil-wakil utama bersama-sama hadir pada sidang media Coastal Combat 2026 di Desaru Coast, Johor.
Penganjuran acara sukan tempur tempatan melangkah ke era baharu apabila Coastal Combat 2026 bakal memperkenalkan format yang lebih inovatif, menggabungkan pertarungan Muay Thai elit dengan program realiti eksklusif, menjanjikan kelainan di Desaru Coast, Johor pada 23 hingga 24 Januari 2026.
Inisiatif perintis ini dirangka untuk melampaui sempadan acara sukan tempur konvensional, sebaliknya menyuntik elemen hiburan, naratif penceritaan peribadi atlet, dan promosi destinasi pelancongan.
Coastal Combat 2026 yang dianjurkan oleh Boxxtomoi Asia, mengesahkan penyertaan ikon seni bela diri negara, Jihin ‘Shadow Cat’ Radzuan, bukan sahaja sebagai petarung utama di gelanggang, malah sebagai antara peserta terkemuka dalam program realiti Muay Thai pertama di Malaysia.
Meskipun Jihin kini dikenali sebagai atlet Mixed Martial Arts (MMA) terkemuka, beliau kembali ke disiplin asal kariernya, Muay Thai, yang mana beliau pernah mewakili Johor di Sukan Malaysia (SUKMA) sebelum melangkah ke pentas profesional.
Pengarah Coastal Combat – Boxxtomoi Asia, Nor Afandi Nor Hosni, berkata penganjuran ini beriltizam membawa Muay Thai ke era baharu.

Dari kiri: Jihin ‘Shadow Cat’, petarung wanita Muay Thai (Malaysia); Izrin Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Desaru Coast; Datuk Paduka Shahnaz Azmi, Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia.
“Ia sesuatu yang belum pernah diimplementasikan di negara ini. Penonton bukan sahaja dapat melihat atlet bersaing, mereka juga akan mengikuti perjalanan peribadi, disiplin peserta dan pengalaman budaya di Pantai Desaru. Inilah evolusi Muay Thai, sebuah produk hiburan dengan nilai sukan sebenar,” katanya.
Program realiti Muay Thai eksklusif ini akan menampilkan format berpasukan yang penuh aksi dan strategi, menyaksikan pertembungan 20 atlet, iaitu 10 dari Malaysia dan 10 atlet antarabangsa.
Penggambaran program ini akan dilakukan sepenuhnya di lokasi eksklusif Desaru Coast, dengan kandungannya merangkumi tugasan ekstrem yang menguji kekuatan fizikal, kemahiran teknikal, strategi berpasukan, dan kreativiti.
Program ini dijangka disiarkan secara dalam talian dengan sasaran capaian sehingga 300,000 penonton menerusi YouTube.

Petarung-petarung lelaki Muay Thai dan wakil-wakil utama bersama-sama hadir pada sidang media Coastal Combat 2026 di Desaru Coast.
Acara ini akan mempertaruhkan barisan atlet wanita Malaysia yang dianggap paling mantap pernah dibentuk, diketuai oleh Jihin dan diperkuatkan dengan kehadiran Nur Amisha (petarung Muay Thai Wanita Nombor Satu Malaysia), Eycah, Krystal Angel, dan Nur Afifah.
Pertarungan tumpuan edisi ini akan menyaksikan Jihin menentang fighter Indonesia, Ade Mutia dari Kalimantan. Pasukan wanita Malaysia akan menentang pasukan antarabangsa yang menampilkan pesaing dari Amerika, Perancis, serta juara Eropah, Cindy Silvestre.
Nor Afandi menambah, format ‘Malaysia vs International’ ini direka untuk menyuntik elemen dramatik dan kompetitif.
“Penyertaan Jihin dan Nur Amisha bersama barisan atlet wanita Malaysia mencipta identiti baharu dalam sukan kombat negara. Ini adalah pasukan wanita Malaysia paling kuat pernah disusun di negara ini,” tegas beliau.
Coastal Combat 2026 di Desaru Coast bukan sekadar acara sukan, tetapi penanda aras baharu bagi integrasi sukan kompetitif, hiburan, dan promosi pelancongan di rantau ini, selaras dengan hala tuju Tahun Melawat Johor 2026.




