Ikuti Kami:

CK Music & Epiphone Raikan Komuniti Gitaris Malaysia Dalam ‘Terpaling Solo Contest’

CK Music & Epiphone Raikan Komuniti Gitaris Malaysia Dalam ‘Terpaling Solo Contest’

Semangat muzik dan komuniti gitaris tempatan diraikan dalam acara kemuncak ‘Terpaling Solo Contest’ yang berlangsung meriah di CK Music Showroom di ibu negara semalam.

Dianjurkan oleh CK Music dengan kerjasama Epiphone Malaysia, pertandingan ini bukan sekadar pertandingan bakat, tetapi satu platform yang menghubungkan pemain gitar dari pelbagai latar belakang, umur, dan genre muzik.

Bermula dari 14 April hingga 5 Mei 2025, pertandingan terbuka ini telah berjaya menarik lebih 50 penyertaan dari seluruh Malaysia, termasuk peserta dari sejauh Sabah dan Pulau Pinang. Para peserta hanya perlu memuat naik video solo mereka menggunakan lagu instrumental “Terpaling” ciptaan maestro gitar tempatan Edrie Hashim dan menandai CK Music di media sosial.

Daripada jumlah tersebut, 11 finalis telah dipilih untuk mara ke peringkat akhir dan mempersembahkan bakat mereka secara langsung di hadapan juri utama iaitu Edrie Hashim sendiri.

Menurut wakil CK Music, pertandingan ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan CK Music sebagai salah satu pengedar utama Epiphone di Malaysia, tetapi juga sebagai satu bentuk penghargaan terhadap komuniti pemuzik tanah air.

“Melalui acara ini, kami ingin meraikan semangat pemain gitar di Malaysia yang terus berkembang. Ia bukan tentang menang atau kalah, tapi tentang semangat, kreativiti dan komuniti,” katanya.

Edrie Hashim turut memberikan pujian terhadap kualiti persembahan peserta.

“Kesimpulannya, kita mendapati yang banyak gitaris-gitaris kat Malaysia ni yang berkaliber dan berpotensi,” ujar beliau selepas sesi persembahan akhir.

Acara ini menyaksikan Izzwan Bin Nik Nizam dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang gitar Epiphone Les Paul Modern. Tempat kedua dan ketiga pula disandang oleh Daniel Sabirin dan Sharuddin Lingkatan, manakala Kyoji Sky dan Khairuddin Ismail melengkapkan senarai lima terbaik.

Selain hadiah utama, semua peserta mendapat peluang eksklusif untuk menerima maklum balas langsung daripada Edrie Hashim, menjadikan acara ini satu pengalaman berharga buat pemain gitar muda dan berpengalaman.

Dengan sambutan hangat dan semangat luar biasa daripada peserta dan peminat muzik, CK Music dan Epiphone Malaysia menunjukkan komitmen berterusan mereka dalam membangunkan ekosistem muzik yang inklusif dan progresif di Malaysia.

Foto Oleh: Papadin.

Komen
Loading...