Cinta, Masa & Pengorbanan, Sore: Istri dari Masa Depan Kini di Malaysia
- oleh Mohd Indera
- 25 Sep 2025 7:31 pm

Filem romantik fantasi Indonesia, Sore: Istri dari Masa Depan yang mencatat kutipan box office lebih USD9 juta dengan 3 juta penonton di pawagam Indonesia, kini menemui penonton Malaysia bermula 25 September.
Filem arahan Yandy Laurens itu turut mengharumkan nama negara jiran apabila terpilih mewakili Indonesia ke Anugerah Academy Awards ke-98 (Oscar) bagi kategori Best International Feature Film.
Diterbitkan Cerita Films dan dibawa masuk oleh Primeworks Studios, karya ini dibintangi Dion Wiyoko dan Sheila Dara Aisha bersama pelakon antarabangsa seperti Goran Bogdan, Lara Nekic, Livio Badurina, Maya Hasan dan Mathias Muchus.
Suasana penuh meriah mewarnai tayangan perdana Sore: Istri dari Masa Depan di GSC Mid Valley semalam apabila ia dihadiri pelakon utama, pengarah Yandy Laurens, penerbit Suryana Paramita, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Nini Yusof, wakil media serta peminat bertuah.
Filem ini mengisahkan Jonathan (Dion Wiyoko) yang didatangi seorang wanita asing bernama Sore (Sheila Dara) yang mendakwa dirinya isteri Jonathan dari masa depan.
Kehadiran Sore dengan misi mengubah gaya hidup suaminya membuka rahsia besar yang mengubah perjalanan hidup mereka.
Selain lakonan, kekuatan filem ini turut disokong sinematografi memukau di tiga lokasi berbeza iaitu Jakarta, Croatia dan Finland, dengan panorama aurora serta landskap desa Eropah yang romantis.
Runut bunyi utama Terbuang Dalam Waktu dendangan kumpulan Barasuara pula menambahkan kedalaman emosi.
Selepas berjaya meraih kedudukan keenam kutipan tertinggi di Indonesia tahun ini, Sore: Istri dari Masa Depan mula menemui penonton di pawagam Malaysia.