Tular di media sosial rakaman CCTV yang menunjukkan seorang lelaki dipercayai cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya sendiri selepas melakukan pembunuhan.
Dalam insiden yang berlaku di hadapan lif sebuah pangsapuri di Lengkok Angsana, Ayer Itam, Georgetown, Pulau Pinang, seorang wanita bersama bapanya maut ditikam oleh suspek.
Kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek selepas cintanya ditolak oleh wanita tersebut.
Memetik Harian Metro, serangan berlaku sekitar jam 1.15 tengah hari ketika mangsa baru pulang dari tempat kerja.
Suspek yang bersenjatakan pisau menyerang wanita berkenaan, dan bapanya yang cuba melindungi anak turut ditikam.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Selepas serangan tersebut, suspek dilihat dalam rakaman CCTV cuba mengelar dan menikam tubuhnya sendiri, dipercayai cuba untuk membunuh diri.
Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil.
Lelaki berusia 32 tahun itu akan direman selama tujuh hari hingga Khamis bagi membantu siasatan, dengan penahanan dilakukan di hospital di mana dia menerima rawatan bagi kecederaan yang dipercayai dibuat sendiri.
Ketua Polis Pulau Pinang, Komisioner Datuk Hamzah Ahmad, memaklumkan bahawa kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh.
Pihak polis kini sedang menyelidiki motif sebenar di sebalik pembunuhan tersebut.