Ikuti Kami:

‘Cinta Abadi’ Erra Fazira Dirakam Semula, Tampil Dengan Versi Piano Penuh Emosi

‘Cinta Abadi’ Erra Fazira Dirakam Semula, Tampil Dengan Versi Piano Penuh Emosi

Primadona filem dan muzik negara, Erra Fazira, kembali menggegarkan persada seni dengan melancarkan rakaman semula lagu epik klasiknya, ‘Cinta Abadi’, 32 tahun selepas penerbitan asalnya pada 1993.

Lagu nukilan Razman dengan sentuhan lirik Habshah Hassan ini diangkat dalam versi baharu sebagai meraikan hari istimewa bintang sensasi tersebut.

Dalam Versi 2025 ini, ‘Cinta Abadi’ telah diberikan suntikan muzik moden yang lebih segar dan istimewa. Tidak hanya dipersembahkan satu versi, malah ia turut hadir dalam versi piano yang memberikan sentuhan emosi berbeza, sekali gus mengubati kerinduan peminat terhadap vokal Erra.

Idea merakamkan semula ‘Cinta Abadi’ ini datang daripada pihak pengurusan Erra Fazira, MindOrder Sdn Bhd, yang melihat ia sebagai ‘buah tangan’ istimewa buat peminat yang sekian lama menantikan single terbaharu nyanyiannya.

Erra Fazira menyifatkan ‘Cinta Abadi’ sebagai sebuah lagu yang cukup istimewa dan merupakan titik permulaan yang mengukir namanya sebagai seorang penyanyi di Malaysia.

“32 tahun usia lagu ini. Siapa sangka, ia sudah berlalu lebih tiga dekad namun setiap saat dan momen ketika merakamkan lagu ini masih saya ingat dengan terperinci. Rasa seram sejuk ketika pertama kali ke studio rakaman di Singapura masa itu. Saya masih berusia 19 tahun dan sangat gugup,” ujar Erra.

Beliau menambah, lagu itu bukan sahaja melonjakkan jenama Erra Fazira, tetapi juga menjadi fenomena yang membawa banyak undangan nyanyian.

“Justeru, ketika pihak MindOrder Sdn Bhd mengusulkan idea untuk merakamkan semula lagu ini, saya tidak berfikir panjang kerana menyedari begitu ramai peminat yang sebenarnya menyukainya dan sudah tentu versi terbaru ini dapat mengubati rindu mereka kepada nyanyian saya hari ini dalam sebuah melodi klasik yang pernah menjadi kegemaran mereka dulu,” katanya.

Bukan sekadar rakaman lagu, ‘Cinta Abadi 2025’ juga menjalani penggambaran video muzik yang indah bagi menambahkan elemen visual dan pelan pemasaran lagu tersebut.

Penggambaran telah dilakukan di sekitar Hotel Royal Chulan Cherating Villa & Chalet dan mendapat tajaan penuh daripada Pos Malaysia.

Menurut Erra, keseluruhan video muzik tersebut memberikan perasaan yang sangat indah dan romantik dengan pemandangan pantai di waktu senja. Lebih menarik, penyanyi Naqiu turut tampil bersama dalam video muzik berkenaan.

Cinta Abadi 2025 dan Versi Piano boleh didengarkan di semua platform digital.

Komen
Loading...