Ikuti Kami:

CINDERELLA Versi Asyraf Nasir

CINDERELLA Versi Asyraf Nasir

Kisah dongeng klasik Cinderella biasanya sinonim dengan kasut kaca, istana megah dan kisah cinta penuh magis, namun penyanyi rap dan hip hop tempatan, Asyraf Nasir, tampil dengan tafsiran berbeza melalui single terbaharunya berjudul CINDERELLA.

Lagu ini hadir dalam versi moden yang sarat dengan keyakinan diri, gaya hip hop dan semangat ‘underdog’ yang berjaya bangkit.

Menurut Asyraf, lagu ini dicipta untuk mereka yang pernah merasa tersisih tetapi tahu bahawa diri mereka mempunyai sesuatu yang istimewa.

“CINDERELLA adalah untuk sesiapa yang pernah rasa terpinggir, tetapi tahu dalam hati bahawa mereka punya sesuatu yang istimewa. Lagu ini tentang keyakinan, tentang tiba-tiba semua mata memandang, dan anda menikmatinya sepenuhnya,” jelasnya.

Menariknya, CINDERELLA bukan sekadar sebuah karya muzik tetapi sebuah naratif baharu yang mengangkat watak utama dengan lebih berani. Tiada lagi watak pasif menunggu diselamatkan. Sebaliknya kisah ini diraikan dengan tenaga, keseronokan dan sentuhan nakal hip hop.

Proses penciptaan lagu ini juga cukup unik. Ia dihasilkan hanya dalam dua hari dan kebanyakannya menggunakan rakaman pertama tanpa banyak perubahan.

Bersama penerbit tersohor, SonaOne, Asyraf berjaya menangkap elemen spontan yang memberi jiwa kepada lagu tersebut.

“Apa yang anda dengar adalah kejujuran dalam bentuk paling tulen. Kami biarkan lagu ini hidup dengan cara sendiri tanpa terlalu memikirkan formula,” kata Asyraf.

Selain itu, CINDERELLA turut menampilkan bunyi ‘eccentric synth piano’ yang diinspirasikan daripada sebuah lagu lama Malaysia lalu diolah semula dengan nuansa moden.

Lebih menarik, projek ini sebenarnya bermula sebagai demo sejak tahun 2020 dan hampir tidak berubah hingga kini kerana aura asalnya sudah cukup kuat.

Dengan CINDERELLA, Asyraf Nasir membuktikan bahawa dongeng boleh ditafsir semula mengikut zaman. Ia bukan sekadar kisah cinta fantasi tetapi sebuah perjalanan mencari keyakinan diri.

“Setiap lagu baharu saya akan ada karakter tersendiri, ibarat watak dalam sebuah filem. CINDERELLA adalah permulaan era baharu saya,” ujarnya.

Single CINDERELLA kini boleh didapati di semua platform digital bermula 8 Ogos 2025.

Komen
Loading...