Cili Kampung Beli 50% Pegangan Dotty’s Pastries & Coffee RM24 Juta
- oleh MDaily Editor
- 12 Feb 2026 5:04 pm
Cili Kampung Malaysia, peneraju segmen masakan Melayu autentik, mengukuhkan kedudukannya dalam industri makanan dan minuman (F&B) tempatan menerusi pengambilalihan 50 peratus pegangan ekuiti dalam jenama bakeri artisanal terkenal, Dotty’s Pastries & Coffee (Dotty’s).
Perjanjian strategik bernilai RM24 juta itu dimeterai hari ini, sekali gus menyaksikan gabungan antara warisan kulinari Melayu tradisional dengan kecemerlangan bakeri moden bagi memacu peluasan pasaran ke peringkat nasional.
Majlis menandatangani perjanjian itu disempurnakan oleh Pengarah Cili Kampung Malaysia, Khairul Anwar Dato’ Sri Abdul Azeez dan Pengasas Dotty’s, Nadia Nasimuddin di Ruang Rama Event Space, di sini, semalam.
Khairul Anwar berkata, langkah pengambilalihan itu adalah usaha terancang untuk menginstitusikan jenama Dotty’s yang telah mendefinisikan pengalaman makan sepanjang hari (all-day dining) selama sedekad.

”Dengan penilaian sebanyak RM24 juta, kami menzahirkan keyakinan tinggi terhadap legasi Dotty’s. Gabungan DNA operasi Cili Kampung dengan sentuhan seni Dotty’s bakal mencipta satu kuasa dominan yang akan mentakrifkan semula landskap hospitaliti di Malaysia.
”Kami sedang menggabungkan dua identiti kulinari paling hebat; Cili Kampung dengan kepakaran skala operasi pantas, manakala Dotty’s pula unggul dengan kualiti gaya hidup kontemporari dan kraf artisanal,” katanya.
Menerusi perkongsian strategik ini, Cili Kampung melanggan 11,956,234 saham baharu Dotty’s, yang menilai keseluruhan entiti bakeri tersebut pada harga RM23,912,468.
Sementara itu, Nadia Nasimuddin menyifatkan kerjasama tersebut sebagai pemangkin untuk membawa Dotty’s daripada status ‘butik’ kepada sebuah jenama nasional yang lebih mampan.

”Kerjasama ini bukan sekadar tentang modal, tetapi tentang memperkasakan potensi penuh Dotty’s. Kami akan memelihara elemen ‘kehangatan’ artisanal yang disukai pelanggan sambil memanfaatkan kekuatan operasi yang dibawa oleh pasukan Anwar Azeez,” katanya.
Sebagai permulaan sinergi ini, kedua-dua pihak telah memberikan komitmen modal sebanyak RM5 juta untuk tujuan pengembangan pasaran yang agresif, pemodenan infrastruktur serta pelancaran semula cawangan utama Dotty’s di Suria KLCC.
Langkah ini juga bertujuan memperkukuh kedudukan kedua-dua jenama dalam segmen ‘Melayu Moden’, yang menyasarkan golongan pelanggan tradisional dan peminat kafe premium.
Sinergi itu turut memanfaatkan dapur pusat Dotty’s yang mendapat sijil Halal daripada JAKIM, manakala Cili Kampung akan menerajui kecekapan rantaian bekalan dan strategi pertumbuhan pesat.




