Influencer terkenal, Cikepal telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis tuntutan kepada Dewi atas dakwaan penyebaran kenyataan berunsur fitnah.
Dalam hantaran di Instagram, Cikepal menyatakan bahawa beliau menuntut permohonan maaf terbuka daripada Dewi dan pampasan sebanyak RM1 juta sebagai ganti rugi.
“Saya telah menghantar notis tuntutan kepada Dewi melalui peguam. Saya menuntut Dewi membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi RM1 juta,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Berdasarkan notis tuntutan yang dikongsi Cik Epal, Dewi didakwa mengeluarkan kenyataan tersebut dalam satu siaran podcast dan juga melalui hantaran di Instagram Story.
Notis tuntutan tersebut menggariskan permintaan agar Dewi membuat permohonan maaf tanpa syarat di media sosial, mengikut teks dan prosedur yang disahkan oleh pihak Cikepal.
Peguam Cikepal juga menetapkan tempoh tujuh hari kepada Dewi untuk mematuhi tuntutan tersebut.
Jika Dewi gagal memenuhi tuntutan dalam tempoh yang ditetapkan, Cikepal berhasrat untuk meneruskan tuntutan di mahkamah tanpa sebarang rujukan lanjut kepada Dewi, termasuk tuntutan tambahan untuk ganti rugi kerugian perniagaan.
Sebagai tambahan, Cikepal mengingatkan di Instagram Story bahawa beliau sebelum ini telah menang semua kes saman melibatkan dirinya.
“Kalau Dewi tak nak buat permohonan maaf dan nak ke mahkamah, memang saya akan berjuang habis-habisan. Berani kerana benar,” tegasnya.