Chinotore 2025 Perkasa Pendidikan Inklusif Melalui Kolaborasi Malaysia–Jepun
- oleh MDaily Editor
- 4 Oct 2025 6:37 pm

Program latihan kognitif dan intervensi awal dari Jepun, Chinotore, kini secara rasmi diperkenalkan di Malaysia melalui Bengkel Chinotore 1 dan siri lima sesi demonstrasi yang berlangsung dari 16 hingga 22 September 2025 di Dash Box Hotel, Cyberjaya, Selangor.
Kolaborasi ini menandakan langkah penting dalam memperkukuh pendidikan inklusif Malaysia melalui pertukaran ilmu dan inovasi antara dua negara iaitu Malaysia dan Jepun dengan sokongan agensi pembangunan antarabangsa serta institusi pendidikan tempatan.
Diasaskan oleh Madam Tomoko Makita, Chinotore yang bermaksud “latihan intelektual” dicipta berasaskan pengalaman beliau membantu anaknya yang menghidap autisme.
Program ini merangkumi tujuh tahap modul pembelajaran kognitif menggunakan peralatan khas seperti PITA! blocks, KACHI! pegs, papan magnet dan getah gelang bagi memperkukuh memori, koordinasi motor serta kemahiran berfikir logik.
Menariknya, Malaysia dipilih sebagai negara pelaksana pertama di luar Jepun hasil komitmen tinggi terhadap pembangunan pendidikan inklusif dan matlamat pembangunan mampan (SDG).
Kerjasama ini turut terjalin hasil hubungan istimewa antara Norhafida Ahmad Hafiz, pengarah Mawaddah Biz Enterprise, dan Madam Keiko Yahagi, kedua-duanya ibu kepada anak dengan keperluan khas.
Norhafida, yang baru menamatkan latihan intensif sebagai Chinotore Master Trainer di Jepun pada Julai 2025, berkata inisiatif ini bukan sahaja bertujuan membantu kanak-kanak istimewa, tetapi juga memperkukuh peranan ibu bapa, penjaga dan guru sebagai pelaksana utama dalam pembelajaran inklusif.
“Misi kami ialah memperkasa komuniti khas melalui pendidikan inklusif yang praktikal dan berstruktur. Kami mahu ibu bapa dan guru memahami bahawa setiap anak mampu belajar berfikir dan bertindak berdikari sebelum menerima bantuan,” katanya.
Norhafida Ahmad Hafiz, Pengarah Mawaddah Biz Enterprise.
Beliau turut menambah bahawa pendekatan Chinotore bukan sekadar latihan kognitif, tetapi satu sistem pendidikan yang menekankan hubungan emosi dan interaksi sosial antara anak dan pembimbing.
“Apa yang menjadikan Chinotore unik ialah setiap aktiviti dan alat bantu direka bagi membina asas pemikiran logik serta fokus, sambil menanamkan keyakinan diri dalam kalangan kanak-kanak. Kami melihat perubahan ketara pada anak-anak yang mengikuti sesi demo, mereka lebih tenang, fokus, dan gembira belajar,” jelasnya.
Norhafida turut menekankan bahawa sokongan JICA dan pemantauan oleh Deloitte memberi keyakinan kepada pelaksanaan program ini di Malaysia.
“JICA dan Bamboo Wow memberi bimbingan yang sangat teratur, manakala Deloitte memastikan aspek tadbir urus, audit dan pelaporan dijalankan secara profesional. Ini membuktikan bahawa pendidikan inklusif boleh dijalankan dengan piawaian tinggi dan ketelusan antarabangsa,” ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Bamboo Wow, Keiko Yahagi (dua dari kiri) bergambar bersama pengarah Mawaddah Biz Enterprise, Norhafida Ahmad Hafiz (dua dari kanan), selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama antara Mawaddah Kinoko House dan Chinotore MY Center.
Sebagai sebahagian daripada usaha ini, Mawaddah Kinoko House dan Chinotore MY Center telah ditubuhkan di Dash Box Hotel, Cyberjaya sebagai pusat latihan rasmi pertama di Malaysia.
Pusat ini akan mengendalikan sesi latihan individu (one-on-one), bengkel Train the Trainer dua kali setahun serta perbincangan kumpulan fokus bulanan, menjadikan ia pusat rujukan pendidikan khas berteraskan pendekatan CSR dan ESG.
Kerjasama ini dilihat sebagai langkah strategik dalam mengukuhkan jaringan antara agensi pendidikan, kesihatan dan sosial demi memperluas capaian pendidikan inklusif di Malaysia.
“Kami mahu Chinotore MY menjadi jambatan ilmu antara Jepun dan Malaysia dalam membentuk masyarakat inklusif yang menghargai potensi setiap anak tanpa mengira keupayaan mereka. Chinotore bukan sekadar program, tetapi gerakan pendidikan yang menyatukan kasih sayang, ilmu dan peluang,” katanya.
(Dari kiri)Pengarah Mawaddah Biz Enterprise, Norhafida Ahmad Hafiz menerima sijil penyertaan daripada Pengasas Chinotore, Madam Tomoko Makita sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bamboo Wow, Keiko Yahagi, pada majlis penutupan Bengkel Chinotore yang diadakan baru-baru ini.
Dengan gabungan kepakaran Jepun, komitmen Malaysia dan sokongan antarabangsa, Chinotore 2025 diyakini akan menjadi pemangkin utama dalam melahirkan ekosistem pendidikan khas yang progresif, mampan dan sejajar dengan aspirasi Agenda ESG dan SDG negara.
Di Jepun, Chinotore berkembang pesat di bawah organisasi Bamboo Wow yang diterajui Madam Keiko Yahagi, dengan lima pusat utama di Tokyo iaitu Koenjikita, Asagaya, Asagaya-Kita, Waseda dan Yono.
Program ini disokong oleh Japan International Cooperation Agency (JICA) di peringkat ibu pejabat dan JICA Malaysia, serta dipantau oleh Deloitte Touche Tohmatsu LLC sebagai juruaudit bebas bagi menjamin ketelusan pelaksanaan dan tadbir urus.