
Kumpulan Cherry On Top terus mengorak langkah dalam industri muzik tempatan dengan memperkenalkan single kedua mereka berjudul Srikandi, setahun selepas pelancaran album debut Ketagih pada 1 Ogos 2024.
Selepas mencuri perhatian dengan single pertama Ketagih yang menampilkan Datuk Syafinaz Selamat, kali ini Cherry On Top tampil dengan karya segar dan berani.
Srikandi, ciptaan Kusham sebagai komposer dan Zaira Sham sebagai penulis lirik, menggabungkan tiga elemen muzik iaitu tradisional Melayu, progressive rock dan elektronik moden bagi menghasilkan sebuah karya penuh tenaga dan emosi.
Kusham yang juga pengasas One Scream Studio menegaskan, Srikandi membawa mesej lebih besar daripada sekadar sebuah lagu.
“Srikandi bukan sekadar sebuah lagu. Ia adalah gabungan cerita sejarah, semangat perjuangan dan tenaga muzik moden yang progresif. Kami mahu pendengar rasa seperti melangkah ke dunia epik yang sarat dengan inspirasi,” katanya.
Lagu ini mengangkat kisah pahlawan wanita Melayu yang berani serta berwibawa, sekali gus memberikan dimensi baharu dalam naratif muzik tempatan.
Muzik video rasmi Srikandi yang turut digarap oleh Zaira Sham menampilkan visual berilustrasi tradisional berpalet merah dan emas dengan suntikan elemen futuristik bercahaya neon.
Cherry On Top ialah kumpulan progressive pop-rock Malaysia yang dianggotai enam pemuzik berbakat iaitu Holy sebagai penyanyi utama, Osama dan Didi di posisi gitar, Bobo sebagai pemain bass, Ayen Tommy di posisi dram serta Kuzan yang menggalas peranan keyboard, programmer dan vokal.
Muzik video rasmi Srikandi kini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Cherry On Top bermula hari ini.