CHEN EXO Pilih Kuala Lumpur Lokasi Jelajah ‘Arcadia’ Mac Depan
- oleh MDaily Editor
- 27 Jan 2026 5:53 pm
Anggota kumpulan K-pop popular dunia, EXO, iaitu CHEN, bakal menggegarkan ibu kota menerusi siri jelajah solonya yang dinanti-nantikan, CHEN Concert Tour
Konsert yang dijadualkan berlangsung di ZEPP Kuala Lumpur itu merupakan persinggahan terakhir bagi siri jelajah global beliau bagi tahun 2026, selepas memulakan siri persembahan di Taipei, Yokohama, Jakarta, Manila dan Macau.
Ketua Pegawai Operasi pasukan penganjur, Hans Kim berkata, pihaknya sangat teruja dapat membawa siri jelajah ini ke Malaysia memandangkan vokal dan kehadiran pentas CHEN sentiasa mendapat tempat di hati peminat tempatan.
“Ia lebih daripada sekadar konsert; ia adalah sebuah perjalanan emosi. ‘Arcadia’ direka untuk menyampaikan pengalaman langsung yang sarat emosi dengan produksi visual LED sinematik serta sistem akustik yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

CHEN, atau nama sebenarnya Kim Jong-dae, dijangka mempersembahkan barisan lagu daripada album solonya serta lagu runut bunyi (OST) drama popular yang melonjakkan namanya sebagai ‘Raja OST’ seperti Beautiful Goodbye dan Best Luck.
Pengalaman Intim dan Eksklusif Menariknya, konsert kali ini menawarkan pengalaman yang sangat intim buat peminat tegar beliau, atau lebih dikenali sebagai EXO-L.
Dengan kapasiti terhad kepada 2,000 penonton sahaja, setiap peminat bakal menikmati manfaat ‘Miracle Fan’ yang jarang ditawarkan dalam konsert berskala besar.

Antara keistimewaan utama yang menjadi bualan ramai adalah sesi swafoto 1:1 bersama CHEN yang akan diberikan kepada semua pemegang tiket selepas tamat persembahan.
Tiket bagi menyaksikan konsert yang akan bermula pada jam 4 petang itu ditawarkan pada harga bermula RM398 bagi kategori CAT 4 sehingga RM798 bagi kategori VIP Standing.
Sejak jualan tiket dibuka pada 23 Disember lalu melalui platform Ticket2U, sebanyak 50 peratus tiket dilaporkan telah terjual.
Peminat digalakkan untuk segera mendapatkan tiket memandangkan kuota yang disediakan adalah sangat terhad dan dijangka akan habis dalam masa terdekat.




